hok ikut ambe..

Showing posts with label Peringatan. Show all posts
Showing posts with label Peringatan. Show all posts

Tuesday, September 17, 2013

Pesanan Ibnu Qayyim

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Berkata Imam Ibnul Qayyim rhm, "Seorang remaja perempuan telah meninggal dunia disebabkan taun. Maka pada suatu hari bapanya telah bermimpi berjumpa dengannya lalu bapanya bertanya, wahai anakku, khabarkanlah kepadaku keadaan hari akhirat.

�� Aku telah pergi ke satu dunia, hal yg berlaku di dalamnya adalah sangat hebat penyesalannya. Sesungguhnya kita semua tahu akan tetapi kita mahu lakukan. Demi Allah ! Sesungguhnya pahala sekali tasbih atau pahala satu rakaat solat, jika ianya tertulis di atas sehelai lembaran kitab amalanku, lebih aku sukai daripada dunia dan seisinya."

�� Sesungguhnya remaja perempuan itu telah berkata mengenai satu perkara yg sangat berat untuk dihadapi (kita semua pasti akan menghadapinya) KITA SEMUA TAHU TETAPI KITA TIDAK BUAT. Ramai di kalangan kita yang tidak faham maksudnya (kerana kita belum memasukinya)

�� Sesungguhnya kita tahu bahawa apabila kita mengucapkan "subhanallahi wa bihamdihi" sebanyak 100 kali, dosa kita akan diampun oleh Allah SWT walaupun sebanyak buih di lautan. Masa seharian kita berlalu tetapi kita tidak pun mengucapnya.

�� Sesungguhnya kita tahu bahawa dua rakaat dhuha itu akan mencukupkan kewajipan 360 sedekah (yg diwajibkan ke atas anggota badan). Masa seharian kita berlalu tetapi kita tidak melakukannya

�� Sesungguhnya kita tahu bahawa puasa sunat satu hari di jalan Allah, akan menyebabkan Allah SWT menjauhkan muka kita dari api neraka sejauh 7 parit dan 70 kharif

�� Sesungguhnya kita tahu bahawa menziarahi orang sakit akan menyebabkan dia diikuti oleh 70,000 malaikat yg akan memohon ampun kpd Allah SWT baginya. Akan tetapi seminggu berlalu, kita tidak menziarahi pun orang sakit

�� Sesungguhnya kita tahu, barangsiapa yg menyembahyangkan jenazah kemudian menghantarnya ke kubur, menunggunya hingga jenazah selesai ditanam akan mendapat dua qirat pahala dari Tuhan. Akan tetapi hari hari berlalu tiada suatu jenazah pun yg kita iringi (satu qirat adalah sebesar bukit uhud)

�� Sesungguhnya kita tahu bahawa saham membina masjid walau sebesar sarang burung akan membuatkan Allah SWT membinakan untuknya rumah di syurga. Akan tetapi kita mengambil ringan dalam menyumbangkan saham membina masjid

�� Sesungguhnya kita tahu bahawa menolong ibu tunggal dan golongan miskin (pahalanya) seperti orang berjihad di jalan Allah atau seperti puasa yg tidak berbuka atau seperti yg berqiam dan tidak tidur. Akan tetapi tiada orang susah pun yg menjadi tanggungan bulanan kita.

�� Sesungguhnya kita tahu bahawa membaca alquran itu, satu huruf akan diganjari 10 kebaikan, kita tidak juga membaca alquran.

�� Sesungguhnya kita tahu bahawa kemuliaan seorang mukmin itu adalah berdirinya dia bertahajjud di hadapan tuhannya dlm keadaan manusia tidur. Adalah Nabi SAW dan para sahabat RA tidak meninggalkan qiamullail sepanjang umur mereka walaupun sibuk berjuang menyebarkan agama. Kita pula memandang ringan akan qiamullaill.

�� Sesungguhnya kita mengetahui bahawa mati itu bila bila masa akan tetapi kita seding menangguhkan taubat dan bersungguh membuat pahala

�� Ketahuilah wahai saudara-saudaraku, setiap nafas yg kita hembuskan, semakin mendekatkan kita kepada ajal kita. Kematian bermakna membawa pahala berjumpa Allah SWT.

�� Adakah pahala kita sudah cukup untuk memberatkan timbangan kita?

�� Adakah pahala kita sudah cukup untuk menghadapi hisab yang boleh memufliskan?

 Berbahagialah kepada yg membacanya, faham akannya dan bersegera mengamalkannya. Semoga Allah SWT membalas dgn sebaik balasan kpd yg menyebarkannya.

Wednesday, February 20, 2013

Punca Penghalang Doa Dari Di Terima Allah




Doa adalah talian hayat dalam kehidupan seorang insan bernama hamba dengan Allah SWT. – Gambar hiasan
ANTARA sifat seorang Mukmin sejati ialah sentiasa memohon dan meminta kepada Allah SWT dengan penuh pengharapan dan bersungguh-sungguh. Doa adalah talian hayat dalam kehidupan seorang insan bernama hamba dengan Allah yang Maha Berkuasa.
Apabila seseorang hamba itu berdoa, dia akan merasakan Allah SWT sentiasa dekat dengannya, mengawal dan memerhatikan segala tindakannya tanpa henti. Apabila seseorang hamba itu berdoa, dia perlu yakin dan percaya bahawa doanya itu akan diperkenankan oleh Allah SWT.
Keyakinan ini berasaskan kepada firman Allah SWT yang bermaksud: Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri daripada menyembah-Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina. (al-Mukmin: 60)
Namun begitu, kita perlu berwaspada agar doa yang kita panjatkan kepada Allah SWT terhalang daripada dimakbulkan. Ini adalah kerana, terdapat daripada kalangan orang beriman yang bukan sahaja tidak dimakbulkan, bahkan langsung tidak dipedulikan oleh Allah SWT. Antaranya ialah;
1) Menggunakan harta haram
Seseorang yang memperoleh pendapatan yang haram. Lalu menggunakannya untuk makan dan minum, membeli pakaian, rumah dan kenderaan. Ia akan menyebabkan doa yang dipanjatkan kepada Allah SWT terhijab dan tidak diterima.
Ini berdasarkan sebuah hadis yang bermaksud: …Seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit : Wahai Tuhanku…wahai Tuhanku… sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya. (riwayat Muslim)
Dalam hadis tersebut Rasulullah SAW telah menggambarkan bagaimana doa seseorang itu boleh ditolak disebabkan harta yang haram.
Walaupun dia telah menepati ciri-ciri doa yang makbul seperti bermusafir, tawaduk dan bersungguh-sungguh.
Namun, tetap juga ditolak kerana tidak mempedulikan persoalan hartanya, sama ada daripada sumber yang halal atau yang haram.
Oleh itu, kita perlu berhati-hati dalam menentukan sumber pendapatan yang kita peroleh, sama ada haram secara zat (haram lizatihi) atau haram kerana sebab-sebab yang lain (haram lighairihi).
Haram lizatihi boleh terjadi apabila kita terlibat dalam kegiatan haram yang telah terkandung dalam al-Quran dan hadis secara langsung seperti; perniagaan minuman keras, perjudian dan maksiat. Manakala haram lighairihi pula yang melibatkan keharaman secara tidak langsung seperti riba, gharar dan sebagainya.
2) Gelojoh dan terburu-buru
Antara golongan yang ditolak doanya ialah mereka yang gelojoh dan terburu-buru ketika berdoa.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Dikabulkan doa seseorang daripada kalian selama ia tidak buru-buru, (di mana) ia berkata: Aku sudah berdoa namun belum dikabulkan doaku. (diriwayatkan oleh Al-Bukhari)
Yang dimaksudkan dengan demikian ialah mereka yang apabila berdoa, dia seolah-olah mendesak dan memaksa Allah SWT supaya memakbulkan doanya secepat mungkin. Justeru, dalam kita berdoa, kena banyakkan bersabar dan bersangka baik kepada Allah SWT.
Mungkin doa kita sudah dimakbulkan, tetapi menunggu masa untuk dijadikan sebagai realiti. Semuanya mengikut keputusan dan perancangan Allah dan ia adalah yang terbaik.
Lihatlah bagaimana Nabi Musa dan Nabi Harun as. berdoa tentang kekejaman Firaun. Doa mereka berdua dimakbulkan oleh Allah SWT. Namun, kerajaan Firaun tidak tumbang dalam masa sehari dua, bahkan memakan masa puluhan tahun selepas itu.
Demikian juga Nabi Yaakub as. yang tidak putus-putus berdoa kepada Allah SWT supaya dikembalikan anak Baginda iaitu Nabi Yusuf as. Doanya dimakbulkan, namun selepas puluhan tahun baru Baginda bertemu semula dengan Nabi Yusuf as.
3) Tidak bersungguh-sungguh dalam berdoa
Sebagaimana sekiranya kita meminta daripada manusia, kita juga perlu bersungguh-sungguh ketika berdoa dan memohon daripada Allah SWT. Tidak boleh berdoa secara sambil lewa atau acuh tak acuh seperti melepaskan batuk di tangga.
Sabda Nabi SAW: Apabila seseorang daripada kamu berdoa dan memohon kepada Allah SWT, janganlah dia mengucapkan: “Ya Allah, ampunilah dosaku jika Engkau kehendaki, sayangilah aku jika Engkau kehendaki, dan berilah rezeki jika engkau kehendaki”. Akan tetapi, dia harus bersungguh-sungguh dalam berdoa. Sesungguhnya Allah berbuat menurut apa yang Dia kehendaki dan tidak ada yang memaksa-Nya. (diriwayatkan oleh Al-Bukhari)
4) Lalai dan tidak khusyuk
Kita perlu fokus dan betul-betul memberikan perhatian dengan penuh pengharapan. Setiap lafaz perkataan yang diungkapkan daripada mulut perlu keluar daripada hati yang tulus ikhlas. Ini menuntut supaya kita memahami isi kandungan doa yang dikemukakan.
Sabda Nabi SAW: “Berdoalah kepada Allah SWT dan kamu yakin akan dikabulkan. Ketahuilah bahawa Allah tidak akan mengkabulkan doa orang yang hatinya lalai dan tidak khusyuk.” (diriwayatkan oleh At-Tirmidzi dan Al-Hakim).
5) Meninggalkan amar makruf dan nahi mungkar
Allah SWT telah menjadikan amar makruf dan nahi mungkar sebagai satu syarat untuk kita menjadi umat yang terbaik. Firman Allah SWT yang bermaksud: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). (ali-Imran: 110)
Apabila kita meninggalkan kewajipan ini, maka akan berleluasalah maksiat dan penderhakaan di atas muka bumi. Apabila kita hanya melihat sahaja ma ksiat yang berlaku tanpa mengambil tindakan untuk membanterasnya, maka pada ketika itulah Allah SWT akan menurunkan bala dan tidak akan memakbulkan doa kita.
Nabi SAW bersabda: “Demi Zat yang jiwaku di tangan-Nya, hendaklah kalian menyuruh yang makruf dan mencegah kemungkaran atau (kalau tidak kalian lakukan) maka pasti Allah akan menurunkan seksaan kepada kalian, hingga kalian berdoa kepada-Nya, tetapi tidak dikabulkan.” (diriwayatkan oleh At-Tirmidzi dan Ahmad)

Apabila Sangkakala Ditiup


✐ Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yang lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yang tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.
✐ Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya “Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?” Tiada siapa yang menjawab. Lalu Dia sendiri menjawab dengan keagunganNya “Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.” Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.
✐ Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.
✐ Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut “Ajbuz Zanbi” yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yang kembang membesar dari biji benih.
✐ Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.
✐ Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.
✐ Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.
✐ Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah SWT. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.
✐ Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.
✐ Terdapat satu telaga kepunyaan Nabi Muhammad SAW bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.
✐ Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:
ⅰ- Pemimpin yang adil.
ⅱ- Orang muda yang taat kepada perintah Allah.
ⅲ- Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.
ⅳ- Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
ⅴ- Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata “Aku takut pada Allah”.
ⅵ- Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).
ⅶ- Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.
✐ Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara “pergilah berjumpa dengan para Nabi”. Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah SWT. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.
✐ Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad SAW ke hadrat Allah SWT. Lalu diperkenankan doa baginda.
✐ Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga ‘Arasy itu tiba dibumi.
✐ ‘Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.
✐ Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari ‘Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.
✐ Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & ‘Atid / Kiraman Katibin.
✐ Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.
✐ Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad SAW, dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.
✐ Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.
✐ Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.
✐ Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad SAW dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.
✐ Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.
✐ Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta’ala dengan Maha Bijaksana.
✐ Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.
✐ Syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat :
ⅰ- Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.
ⅱ- Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.
ⅲ- Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.
(Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah SWT.)
✐ Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.
✐ Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.
✐ Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.
✐ Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.
Rujukan:
Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al-
Fathani. Pustaka Nasional Singapura 2004.

Friday, March 16, 2012

24 Peringatan untuk Wanita




1. Urusan pertama yg ditanyakan pada hari akhirat nanti ialah mengenai solat dan mengenai urusan suaminya (apakah ia menjalankan kewajipannya atau tidak).

2. Apabila wanita itu lari dari rumah suaminya maka tidak diterima solatnya sehingga kembali ia dan menghulurkan tangannya kepada suaminya (meminta ampun).

3. Mana-mana perempuan yg memakai bau-bauan kemudian ia keluar melintasi kaum lelaki ajnabi agar mereka tercium bau harumnya maka dia adalah perempuan zina dan tiap-tiap mata yg memandang itu adalah zina.

4. Sebaik-baik wanita ialah tinggal dirumah, tidak keluar kecuali atas urusan yg mustahak. Wanita yg keluar rumah akan dipesonakan oleh iblis. Rasulullah S.A.W bersabda yg bermaksud : “Perempuan itu aurat, maka apabila ia keluar mendongak syaitan memandang akan dia.”

5. Haram bagi wanita melihat lelaki sebagaimana lelaki haram melihat wanita yg halal nikah (kecuali dalam urusan menuntut ilmu dan berjual beli).

6. Diriwayatkan bahawa pada suatu hari ketika Rasulullah S.A.W bersama isteri-isterinya (Ummu Salamah r.ha. dan Maimunah r.ha.), datang seorang sahabat yg buta matanya (Ibnu Maktum) Rasulullah s.a.w. menyuruh isteri-isterinya masuk ke dalam. Bertanya Ummu Salamah, “Bukankah orang itu tidak dapat melihat kami, Ya Rasulullah ?” Rasulullah s.a.w. menjawab, “Bukankah kamu dapat melihatnya.”

7. Perempuan yg melabuhkan pakaian dalam keadaan berhias (bukan untuk suami dan mahramnya) adalah seumpama gelap-gelita pada hari Qiamat tiada Nur (cahaya) baginya.

8. Mana-mana wanita ya bermasam muka menyebabkan tersinggung suaminya, maka wanita itu dimurkai Allah sehingga ia bermanis muka dan tersenyum mesra pada suaminya.

9. Tidak boleh seorang isteri mengerjakan puasa sunat kalau suaminya ada dirumah serta tidak mengizinkan dia berpuasa.

10. Hendaklah isteri berpuas hati (redha) dengan suaminya yg telah dijodohkan oleh Allah, sama ada miskin atau kaya.

11. Perempuan tidak berhak keluar dari rumahnya melainkan jika terpaksa (kerana sesuatu urusan mustahak) dan ia juga tidak berhak melalui jalan lalu lalang melainkan di tepi-tepinya.

12. Apabila memanggil suamii akan isterinya ke tempat tidur tetapi ditolaknya hingga marahlah suaminya, akan tidurlah wanita itu dalam laknat oleh malaikat hingga ke pagi.

13. Wanita-wanita yg menggunakan lidahnya untuk menyakiti hati suaminya, ia akan mendapat laknat dan kemurkaan Allah, laknat malaikat juga dan laknat manusia sekalian.

14. Tidak harus seseorang manusia sujud kepada manusia dan jika diharuskan, maka akan aku perintahkan semua kaum wanita sujud pada suaminya kerana membesarkan dan memuliakan hak-hak suami mereka.

15. Wanita yg menyakiti hati suaminya dengan lidahnya pada hari Qiamat nanti Allah jadikan lidahnya sepanjang 70 hasta kemudian diikat ke belakang lehernya.

16. “Aku lihat api neraka, tidak pernah aku lihat seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakan ahli neraka ialah wanita.”

Rasulullah s.a.w. ditanyai, “Mengapa demikian Ya Rasulullah?” Jawab Rasulullah s.a.w. “Wanita mengkufurkan suaminya dan mengkufurkan ehsannya. Jika engkau berbuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia masih belum rasa berpuas hati dan cukup.”

17. “Kebanyakan ahli neraka adalah terdiri dari kaum wanita.” Maka menangislah mereka dan bertanya salah seorang daripada mereka, “Mengapa terjadi demikian, adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir?” Jawab Nabi S.A.W : “Tidak, mereka ini ialah mereka yg tidak bersyukur akan nikmat suaminya, sesungguhnya tiap-tiap seorang kamu adalah dalam nikmat suaminya.”

18. Keadaan wanita 10 kali ganda seorang lelaki dalam neraka dan 2 kali ganda seorang lelaki dalam syurga.

19. “Kebanyakan wanita itu adalah isi neraka dan kayu api.” Hazrat Aishah bertanya, “Mengapa wahai Rasulullah s.a.w.?” Jawab Rasulullah s.a.w.:

- Kerana kebanyakan perempuan itu tidak sabar dalam menghadapi kesusahan, kesakitan dan cubaan seperti kesakitan melahirkan anak, mendidik anak-anak dan melayani suami serta melakukan kerja-kerja rumah.

- Tiada memuji (bersyukur) diatas kemurahan Allah yg didatangkan melalui suaminya. (Jarang terdapat orang perempuan yg mahu mengucapkan terima kasih diatas pemberian suaminya.)

- Sering mengkufurkan (ingkar) terhadap nikmat Allah. (Contohnya: Apabila berlaku sesuatu pertengkaran ada isteri yg berkata sudah 10 tahun kahwin dengan awak tidak ada apa-apa pun.

- Gemar bercakap perkara yg sia-sia yang berdosa. (Contohnya: Bercakap mengenai perabot-perabot rumah yang tidak perlu dan mengumpat.)

- Kurang akal dan kurang ilmu pengetahuannya dalam agama iaitu mereka sering tertipu atau terpengaruh dengan pujuk rayu lelaki,rakan-rakan, alam sekeliling dan suasana serta kemewahan lahiriah.

20. Dari Ali bin Abi Talib r.a.: Aku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tiga golongan dari umatku akan mengisi neraka jahanam selama 7 kali umur dunia. Mereka itu adalah:”

- Orang yg gemuk tapi kurus

- Orang yg berpakaian tetapi telanjang

- Orang yg alim tapi jahil

*Adapun yg gemuk tapi kurus itu ialah wanita yg sihat tubuh badannya tetapi kurang ibadat.

*Orang yg berpakaian tetapi telanjang ialah wanita yg cukup pakaiannya tetapi tidak mengikut syariat yg ditetapkan Islam.

*Orang yg alim tapi jahil ialah ulama yg menghalalkan yg haram kerana kepentingan peribadi.

21. Asma’ binti Karizah Fazari r.ha. diriwayatkan telah berkata kepada puterinya pada hari perkahwinan anaknya itu, “Wahai anakku, kini engkau akan keluar dari sarang di mana engkau dibesarkan. Engkau akan berpindah ke sebuah rumah dan hamparan yang belum engkau kenali. Itulah suami mu. Jadilah engkau tanah bagi suami mu (taat perintahnya) dan ia akan menjadi langit bagi mu (tempat bernaung).

Jadilah engkau sebagai lantai supaya ia dapat menjadi tiangnya. Jangan engkau bebani dia dengan berbagai kesukaran kerana itu akan memungkinkan ia meninggalkan mu. Kalau ia mendekatimu, dekatilah ia dan jika ia menjauhi mu maka jauhilah ia dengan baik. Peliharalah benar-benar suami mu itu akan hidungnya, pendengarannya, matanya dan lain-lain. Janganlah pula ia mendengar melainkan yang enak dan janganlah ia melihat melainkan yang indah sahaja pada dirimu.

22. Pesanan Luqman kepada anaknya, “Sepanjang hidupku, aku hanya memilih 8 kalimah dari pusaka para Nabi yg lalu iaitu:”

Apabila engkau sedang solat kepada Allah SWT maka jagalah baik-baik fikiran mu.

- Apabila engkau berada di rumah orang lain, maka jagalah pandangan mu.

- Apabila engkau berada di tengah-tengah majlis maka jagalah lidah mu.

- Apabila engkau hadir dalam jamuan makan maka jagalah perangai mu.

- Sentiasa ingat kepada Allah S.W.T

- Lupakan budi baik mu pada orang lain.

- Lupakan semua kesalahan orang lain terhadap mu.

- Selalu ingat Mati.


23. Perkara-perkara yg menjadikan wanita itu derhaka kepada suaminya seperti tersebut di dalam kitab Muhimmah:

- Menghalang suami dari bersuka-suka dengan dirinya sama ada untuk jimak atau menyentuh mana-mana bahagian tubuhnya.

- Keluar rumah tanpa izin suami sama ada ketika suami ada di rumah atau pun tidak.

- Keluar rumah kerana belajar ilmu yang bukan ilmu Fardhu Ain.

- Dibolehkan keluar untuk belajar ilmu Fardhu Ain jika suaminya tidak mampu mengajar.

- Enggan berpindah (berhijrah) bersama suaminya.

- Mengunci pintu, tidak membenarkan suami masuk ke rumah ketika suami ingin masuk.

- Memasam muka ketika berhadapan dengan suami.

- Minta talak.

- Berpaling atau membelakangi suami ketika bercakap.

- Menyakiti hati suami sama ada dengan perkataan atau perbuatan.

- Meninggalkan tempat tidur tanpa izin suami.

- Membenarkan orang lain masuk ke dalam rumah sedangkan ia tidak disukai oleh suaminya.


24. Wajib bagi wanita :

- Mengekalkan malu pada suaminya, menundukkan mata ketika berpandangan.

- Mengikut kata-kata dan suruhan suami selagi tidak bertentangan dgn aqama.

- Dengar dan diam ketika suami berkata-kata.

- Berdiri menyambut kedatangannya. Berdiri menghantar pemergiannya.

- Hadir bersamanya ketika masuk tidur.

- Memakai bau-bauan yg harum untuk suami. menghilangkan bau mulut untuk suami.

- Berhias untuk suami dan meninggalkan hiasan ketika ketiadaannya.

- Tiada khianat ketika ketiadaan suami, memuliakan keluarga suaminya.


Friday, March 9, 2012

Tanda 100 Hari Sebelum Hari Kematian



Adapun riwayat-riwayat ini memperlihatkan kepada kita sesungguhnya Allah SWT tidak pernah berlaku zalim kepada hamba-Nya. Tanda-tanda yang diberikan adalah untuk menjadikan kita umat Islam supaya dapat bertaubat dan bersedia dalam perjalanan menghadap Allah SWT. Walau bagaimanapun, semua tanda-tanda ini akan berlaku kepada orang-orang Islam saja, sedangkan orang-orang kafir iaitu orang yang menyekutukan Allah, nyawa mereka ini akan dicabut tanpa peringatan sesuai dengan kekufuran mereka kepada Allah SWT.
Adapun tanda-tanda ini terbahagi pada beberapa keadaan :

1. Tanda 100 Hari Sebelum Hari Kematian
Ini adalah tanda pertama dari Allah SWT kepada hamba-Nya dan hanya akan disedari oleh mereka- mereka yang dikehendakinya. Walau bagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini, hanya apakah mereka sedar atau tidak saja. Tanda ini akan berlaku lazimnya setelah waktu ‘Asar. Seluruh tubuh mulai dari ujung rambut sampai ke ujung kaki akan mengalami getaran, seakan-akan menggigil. Contohnya seperti daging sapi yang baru disembelih, dimana jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan- akan bergetar. Tanda ini rasanya nikmat, dan bagi mereka yang sedar dan berdetak di hatinya bahawa mungkin ini adalah tanda kematian maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah sadar akan kehadiran tanda ini. Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian , tanda ini akan lenyap begitu saja tanpa ada manfaat. Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk memanfaatkan masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.

2. Tanda 40 Hari Sebelum Hari Kematian
Tanda ini juga akan terjadi sesudah waktu ‘Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pohon yang letaknya di atas ‘Arasy Allah SWT. Maka malaikat maut akan mengambil daun tersebut dan mulai membuat persediaannya ke atas kita antaranya adalah ia akan mulai mengikuti kita sepanjang waktu. Akan terjadi malaikat maut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika. Adapun malaikat maut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.

3. Tanda 7 hari
Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah sakit dimana orang sakit yang tidak makan secara tiba- tiba dia berselera untuk makan.

4. Tanda 3 hari
Pada masa ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita yaitu diantara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat diketahui / difahami maka berpuasalah kita setelah itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti. Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan turun, dan ini dapat diketahui jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu dimana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.

5. Tanda 1 hari
Akan berlaku sesudah waktu ‘Asar dimana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di bahagian ubun-ubun dimana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu ‘Asar keesokan harinya.

6. Tanda akhir
Akan berlaku keadaan dimana kita akan merasakan satu keadaan dingin di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikat maut untuk menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.

Penutup
Sesungguhnya marilah kita bertakwa dan berdoa kepada Allah SWT semoga kita termasuk di antara orang-orang yang yang dipilih oleh Allah yang akan diberi kesedaran untuk peka terhadap tanda- tanda kematian ini; semoga kita dapat membuat persiapan terakhir dalam usaha memohon keampunan baik dari Allah SWT mahupun dari manusia sendiri, dari segala dosa dan urusan hutang piutang kita. Namun demikian, sesuai dengan sifat Allah SWT Yang Maha Kuasa lagi Pemurah, Maha Pengasih, maka diriwayatkan bahawa tarikh kematian seseorang manusia itu masih dapat diubah dengan amalan doa, baik doa dari kita sendiri maupun doa dari orang lain. Namun hal ini adalah ketentuan Allah SWT semata-mata.
Oleh kerana itu marilah kita bersama-sama berusaha dan berdoa semoga kita diberi hidayah dan petunjuk oleh Allah SWT serta kelapangan waktu dan kesehatan tubuh / badan dan juga fikiran dalam sedaya-upaya kita untuk mencari keredhaan Allah SWT di dunia mahupun akhirat kelak.
Apa yang baik dan benar itu datangnya dari Allah SWT dan apa yang salah itu adalah dari kelemahan manusia itu sendiri.
Wallahu a’lam…





Sebuah hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya

“Bahawa malaikat maut memerhati wajah setiap manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang sedang gelak ketawa.
Maka berkata Izrail: Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah Taala untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok bergelak ketawa.”

Manusia tidak akan sedar bahawa dirinya sentiasa diperhati oleh malaikat maut, kecuali orang-orang soleh yang sentiasa mengingati mati.
Golongan ini tidak lalai dan sentiasa sedar terhadap kehadiran malaikat maut, kerana mereka sentiasa meneliti hadis-hadis Nabi s.a.w yang menjelaskan mengenai perkara-perkara ghaib, terutama mengenai hal ehwal mati dan hubungannya dengan malaikat maut.
Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati sebagaimana firman Allah SWT :

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, ”
(Al-Imran :185)

Jadi bermula hari ini gunakanlah peluang yang berbaki untuk beramal soleh, berazamlah serta panjatkan doa agar kita mati dalam keadaan Husnul khatimah –
seelok-elok Kesudahan/kematian” dan mohon juga dari Allah dijauhkan kesudahan yang tidak baik.
1 hari = 24 jam = 1440 minit
1440 minit / 70 (ziarah Izrail) = 20.571 minit.

Ini bermakna malaikat maut menziarahi kita setiap 21 minit, Subhanallah.. Allahu Akbar.
Dari Allah kita datang dan kepada-Nya kita dikembalikan..

Wallahualam

Sunday, March 4, 2012

Suasana Akhirat





I - KEADAAN-KEADAAN HARI MAHSYAR


1. Manusia semuanya berkumpul dengan berkaki ayam dan bertelanjang.

Riwayat Syaikhati daripada ‘Aisyah r.a berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

Manusia pada hari mahsyar akan dikumpulkan dengan berkaki ayam dan bertelanjangan tanpa secebis pakaian (bertelanjang bulat), maka ‘Aisyah berkata: “Aku bertanya, lelaki dan perempuan semuanya dapat melihat (kemaluan) setengah mereka kepada setengah yang lain?” Sabda Rasulullah s.a.w: “Perkara yang amat dahsyat ketika itu menjadikan mereka tidak mementingkan perkara itu.”


2. Matahari menghampiri kepala-kepala makhluk.

Diriwayatkan oleh Muslim daripada al-Muqdam r.a berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

Matahari akan menghampiri makhluk pada hari kiamat sehingga jadilah mereka yang jaraknya (dengan matahari) pada kadar satu batu. Maka adalah manusia pada ketika itu di dalam peluh mengikut kadar amalan mereka, maka sebahagian daripada mereka sampai kepada buku lali, dan daripada mereka ada yang sampai kepada betis, dan ada juga sebahagian daripada mereka sampai ke pusat, dan kedapatan juga daripada mereka yang ditenggelami oleh peluh keseluruhannya, dan Rasulullah s.a.w telah menunjukkan kepada mulutnya.


3. Bumi menjadi saksi kepada hamba di atas segala amalan yang telah dilakukannya.

Diriwayatkan daripada Ibnu Hibban di dalam sahihnya daripada Abi Hurairah berkata: Rasulullah s.a.w telah membaca ayat ini:

“Pada hari itu bumi menceritakan beritanya.”

Kemudian baginda bersabda:
“Apakah kamu mengetahui apakah beritanya?” Para sahabat berkata: “Allah dan Rasulnya yang lebih mengetahui.” Maka sabda Rasulullah s.a.w: “Maka sesungguhnya beritanya itu ialah penyaksian ke atas setiap hamba lelaki dan hamba perempuan dengan apa yang telah dikerjakannya di atas muka bumi, (iaitu daripada kebaikan dan kejahatan) ia berkata: Amalan ini begini dan begini...”


4. Tempat, di mana seseorang itu tidak akan mengingati lagi seseorang yang lain. 

Riwayat Abu Daud dan Hakim daripada ‘Aisyah r.a berkata:

“Aku mengingati neraka kemudian aku menangis, maka bertanya Rasulullah s.a.w: “Apakah yang menyebabkan engkau menangis?” Aku berkata: “Aku mengingati neraka lalu aku menangis, maka adakah kamu akan mengingati ahli kamu pada hari kiamat?” Maka sabda Baginda: “Adapun pada tiga tempat, maka tiada seseorang pun yang akan mengingati seseorang yang lain.

Pertama: Ketika di sisi timbangan sehinggalah diketahui apakah timbangannya itu ringan atau berat?

Keduanya: Ketika buku catatan (suhuf) itu berterbangan mencari tuannya. Sehinggalah diketahui di manakah jatuhnya buku catatan tersebut, sama ada di kanan, di kiri atau di belakangnya?

Ketiga: Di sisi titian sirat. Apabila telah diletakkan di antara dua tebing neraka jahanam, sehinggalah ia telah dapat menyeberanginya dengan selamat.


5. Penyaksian anggota terhadap apa yang telah di kerjakan oleh setiap hamba-Nya.

Muslim meriwayatkan daripada Anas berkata:

Adalah kami di sisi Rasulullah s.a.w, kemudian baginda ketawa lalu bersabda:

“Adakah kamu mengetahui tentang apakah yang telah berlaku aku ketawakan tadi?” Kami berkata: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Baginda bersabda: Tentang perbicaraan hamba dengan Tuhan-Nya. Maka kata hamba: “Wahai Tuhan, apakah engkau tidak akan menyelamatkanku
daripada kezaliman?” Allah berfirman: “Bahkan!” Maka berkata pula hamba: “Sesungguhnya aku tidak akan membiarkan pada hari ini seseorang pun menjadi saksi ke atas diriku kecuali diriku sendiri.” Maka firman Allah kepadanya: “Cukuplah dengan diri engkau pada hari ini sebagai saksi dan
Kiraman Klatibin akan menyaksikannya.” Kemudian sabda Rasulullah s.a.w. “Maka lalu di kuncilah mulutnya (hamba), dan dikatakanlah kepada anggota-anggotanya “Bercakaplah,” lalu anggota-anggota itupun menceritakanlah segala amalan yang dilakukan oleh tuannya, kemudian di biarkan hamba itu pula bercakap, maka katanya:

“Celakalah kamu semua (anggota), padahal aku telah berjuang untuk mempertahankan kamu (semasa hidup di dunia).”

Ini semua telah dijejaskan dalam surah Yasin:65

“Pada hari ini Kami tutup mulut mereka dan bercakaplah kepala, tangan mereka dengan kami mereka menaik saksi atas apa yang mereka lakukan.”


II - KEADAAN-KEADAAN AHLI NERAKA

1. Neraka jahanam yang hitam gelap.

Tarmizi, Ibnu Majah dan Baihaqi meriwayat kan daripada Abu Hurairah, daripada Nabi s.a.w bersabda:

“Api neraka telah dinyalakân selama seribu tahun, sehingga merah,
kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga putih, kemudian dilanjutkan
seribu tahun lagi sehingga hitam gelap, bagaikan malam yang gelap kelam.


2. Apa yang berlaku di lembah jahanam.

Ibnu Majah, dan Tarmizi dan Tabrani me riwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a daripada Nabi s.a.w bahawasanya Baginda bersabda: “Sesungguhnya di dalam neraka jahanam itu suatu lembah yang mana neraka jahanam meminta perlindungan daripada lembah tersebut sebanyak 400 kali, yang disediakan untuk mereka yang sentiasa membantah daripada umat Nabi Muhammad s.a.w.”


3. Bagaimana dalamnya dasar jahanam.

Muslim meriwayatkan daripada Khalid ibnu Umair berkata: telah berkhutbah ‘Utbah bin Ghazwan r.a, maka ia berkata:

“Sesungguhnya telah diceritakan kepada kami bahawasanya seketul batu telah dicampakkan dan pada tebing neraka jahanam, maka ia telah menenggelami ke dalamnya selama 70 tahun baharulah sampai kepada dasarnya, demi Allah ia akan dipenuhi Apakah kamu tidak takjub?”


4. Barang Yang ditempa oleh ahli neraka.

Ahmad, Abu Ya’Ja dan Hakim meriwayatkan daripada Nabj s.a.w bersabda:

“Kalaulah sekiranya ditempa daripada sedikit besi neraka jahanam lalu diletakkan di atas bumi, maka berkumpullah sekelian manusia dan jin untuk memindahkannya akan tetapi ianya tidak akan mampu untuk dipindahkan.”


5. Buruknya rupa ahli neraka:

Ibnu Abi Dunya meniwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amru r.a. berkata:

“Kalaulah sekiranya seseorang lelaki daripada ahli neraka dikeluarkan ke dunia maka matilah penduduk dunia lantaran pemandangannya yang menggerunkan, dan baunya amat busuk.”

Kemudian Abdullah menangis dengan tangisan yang kuat sekali.


6. Minuman ahli neraka:

Ahmad, Tarmizi dan al-Hakim meriwayatkan daripada Abi Umamah r.a. daripada Nabi s.a.w dalam menjelaskan firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Dia akan diberi minum dengan air nanah, di minumnya air nanah itu.”(Ibrahim: 16-17)

Sabda Baginda:
“Akan dihampirkan kepada mulutnya, maka apabila sudah dekat kepadanya maka hanguslah mukanya, dan apabila diletakkan di hadapannya maka tanggalkan kulit kepalanya, maka apabila ia telah meminumnya maka putuslah tali perutnya sehinggalah keluar daripada duburnya.

Firman Allah:
“Dan diberi air yang mendidih sehingga memotong-motong usus mereka (taliperut).” (Muhammad: 15)

dan firman-Nya
“Dan jika mereka meminta minum nescaya mereka akan diberi minum dengan air seperti besi yang mendidih yang menghanguskan muka. Itulah minuman yang paling buruk.” (al-Kahfi 29)


7. Makanan ahli neraka.

Tarmizi, Nasa’i dan Ibnu Majah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawasanya Nabi s.a.w telah membaca ayat ini:

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepadanya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan kamu beragama Islam.” (Ali-Imran: 102)

Maka sabda Rasulullah s.a.w.:
“Kalaulah sekiranya setitik biji zakum itu menitis ke atas permukaan bumi ini nescaya akan binasalah kehidupan penduduk dunia, maka bagai manakah pula bagi sesiapa yang menjadikannya sebagai makanan?”


8. Besarnya ahli neraka:

Ibnu Majah meriwayatkan daripada Nabi s.a.w bahawa ia bersabda:

“Sesungguhnya orang kafir (di neraka itu) begitu besar sekali sehinggakan giginya pun sebagai mana besarnya Bukit Uhud dan begitulah besarnya badannya pula ke atas giginya sebagaimana besarnya tubuh seseorang kamu daripada giginya.


9. Tangisan ahli neraka:

Ibnu Majah dan Abu Ya’la meriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a berkata: Sabda Rasulullah s.a.w:

“Akan berterusanlah tangisan ahli neraka itu, maka mereka akan menangis sehingga keringlah air mata, kemudian mereka akan menangis dengan tangisan darah pula sehingga muka-muka mereka menjadi sebagaimana parit-parit, kalaulah sekiranya dilayarkan kepadanya perahuperahu
maka akan hanyut.


III - KEADAAN-KEADAAN AHLI SYURGA

1. Cukuplah mereka dengan penuh kebanggaan dan kemuliaan.

Di mana Allah s.w.t telah menyediakan kepada mereka di dalam syurga daripada perkara-perkara yang mata tidak pernah memandangnya, telinga juga tidak pernah mendengar bahkan hati manusia tidak pernah terlintas (terbayangkannya).

Syaikhan dan selain keduanya meriwayatkan daripada Abi Hurairah r.a berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Aku (Allah s.w.t) telah menyediakan bagi hamba-hambaku yang salih perkara-perkara yang tidak pernah dipandang oleh mata, dan tidak pernah telinga mendengarnya dan tidak pernah terlintas oleh hati manusia, dan bacalah kalau kamu mahu firman Allah s.w.t”:

“Sesungguhnya tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka (iaitu bermacam macam nikmat) yang menyedapkan pandangan mata sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan.” (Al-Sajdah: 17)


2. Cukuplah mereka dengan ketinggian dan kemuliaan yang berkekalan di dalamnya selama lamanya.

Mereka tidak akan terkena penyakit, tidak juga menjadi tua dan tiada sebarang tegahan (sekatan).

Muslim dan Tarmizi meriwayatkan daripada Abi Sa’id al-Khudri r.a berkata: Sabda Rasulullah s.a.w

“Apabila ahli syurga masuk dalam syurga maka kedengaranlah seruan daripada penyeru: Sesungguhnya bagi kamu akan sentiasa sihat dan kamu tidak akan sakit selama-lamanya, bagi kamu akan sentiasa hidup maka kamu tidak akan mati selama-lamanya, bagi kamu akan sentiasa muda maka kamu tidak akan tua buat selama-lamanya dan bagi kamu akan sentiasa mendapat nikmat kemewahan, maka kamu tidak akan ditimpa kemiskinan (kesusahan) selama-lamanya.”

Begitulah firman Allah azza wajalla:
“Dan diserukan kepada mereka, ‘itulah syurga yang diwariskan kepadamu, disebabkan apa yang kamu kerjakan dahulu.” (Al-A’raf: 43)


3. Cukuplah mereka daripada sebarang keinginan (iri hati) dan kenikmatan-kenikmatan bagi mereka.

Tiada sesuatu yang diberikan amat disukai dan dikasihi oleh mereka selain daripada memandang kepada wajah Allah yang mulia.

Muslim, Tarmizi dan Nasa’i meriwayatkan daripada Suhib r.a berkata: Sabda Rasulullah s.a.w:

“Apabila ahli syurga masuk ke dalam syurga maka berfirmanlah Allah azza wajalla: Kamu hendak sesuatu maka aku akan tambahkan kepada karnu?” Maka mereka berkata: “Apakah tidak putih (bercahaya) muka-muka kami? Apakah kami tidak masuk syurga? Apakah kami tidak berjaya (lepas)
daripada neraka?” Dikatakan: “Maka bukalah (singkaplah) hijab, maka tidak suatu perkara yang diberikan paling disukai oleh mereka selain daripada memandang kepada Tuhan mereka, kemudian bacalah firman Allah s.w.t ini.

“Bagi orang-orang yang membuat baik ada pahala yang terbaik dan tambahannya.” (Yunus: 26)


[ Menuju Ketakwaan – Abdullah Nasih Ulwan ]