hok ikut ambe..

Wednesday, February 20, 2013

40 Nasihat Imam Syahid Hasan Albanna Untuk Para Aktivis Islam


1. Hendaklah engkau mempunyai wirid harian dari kitabullah tidak kurang dari satu juz. Usahakan mengkhatamkan Al-Quran dalam masa tidak lebih dari sebulan dan tidak kurang dari tiga hari.

 
2. Hendaklah engkau membaca Al-Quran dengan baik, memerhatikannya dengan teliti dan memikirkan ertinya.
3. Hendaklah engkau mengkaji Sirah Nabi dan sejarah para generasi salaf. Banyak membaca hadis Rasulullah saw, sekurang-kurangnya hafal 40 hadith dalam Al-Arba’in An-Nawawiyah dan juga mengkaji pokok-pokok aqidah dan fiqh.
4.Hendaklah engkau bersegera melakukan check up secara berkala atau berubat, begitu penyakit terasa mengenaimu. Disamping itu perhatikan faktor-faktor penyebab kekuatan dan perlindungan tubuh serta hindarilah faktor-faktor penyebab lemahnya kesihatan.
5. Hendaklah engkau menjauhi sikap berlebih-lebihan dalam mengambil kopi, teh, dan minuman perangsang yang lain. Elakkan sama sekali merokok.
6. Hendaklah engkau perhatikan kebersihan dalam segala hal baik tempat tinggal, pakaian, makanan, minuman, badan dan tempat kerja kerana agama ini dibina di atas dasar kebersihan.
7.Hendaklah engkau jujur dalam berkata dan jangan sekali-kali berdusta.
8.Hendaklah engkau menepati janji, jangan mengingkarinya bagaimana keadaan pun yang engkau hadapi.
9.Hendaklah engkau menjadi seorang yang berani dan tahan ujian. Keberanian yang paling utama adalah terus terang dalam menyatakan kebenaran, ketahanan dalam menyimpan rahsia, berani mengakui kesalahan, adil terhadap diri sendiri dan dapat menguasainya dalam keadaan marah sekalipun.
10. Hendaklah engkau sentiasa bersikap tenang dan serius. Namun janganlah keseriusan itu menghalangimu dari bercanda, senyum dan tawa.
11. Hendaklah engkau memiliki rasa malu yang kuat, berperasaan yang sensitif dan peka oleh kebaikan dan keburukan. Hendaklah engkau juga bersikap rendah diri dengan tanpa menghina diri, tidak bersikap taklid dan tidak terlalu berlunak hati.
12. Hendaklah engkau bersikap adil dan benar dalam memutuskan suatu perkara pada setiap situasi. Jangan kemarahan melalaikanmu dari berbuat kebaikan, jangan permusuhan membuatmu lupa dari pengakuan jasa baik. Berkata benar meskipun itu merugikan orang yang paling dekat denganmu.
13. Hendaklah engkau menjadi pekerja rajin dan terlatih dalam aktiviti-aktiviti sosial. Bahagia jika dapat mempersembahkan bakti kepada orang lain, gemar melawat orang sakit, membantu yang memerlukan, menanggung orang yang lemah dan meringankan derita orang yang terkena musibah.
14. Hendaklah engkau berhati kasih, dermawan, toleran, pemaaf, lemah lembut kepada manusia mahupun binatang, berperilaku baik dalam berhubungan dengan semua orang, menjaga etika-etika sosial Islam, menyayangi yang kecil dan menghormati yang besar, memberi tempat kepada yang lain dalam majlis, tidak memata-matai, tidak mengumpat, tidak mengumpat, meminta izin jika masuk mahupun keluar rumah dan lain-lain.
15. Hendaklah engkau pandai membaca dan menulis, serta memperbanyak membaca akhbar, majalah atau tulisan lain. Bangun perpustakaan khusus, seberapapun ukurannya, konsentrasilah terhadap spesifikasi keilmuan dan keahlianmu jika engkau seorang pakar, dan kuasailah persoalan Islam secara umum yang dengannya dapat membina persepsi yang baik untuk menjadi rujukan bagi pemahaman terhadap tuntutan fikrah.
16. Hendaklah engkau mempunyai usaha ekonomi yang mandiri, betapapun kecil, dan cukupkanlah dengan apa yang ada pada dirimu betapa tingginya kapasiti keilmuan.
17. Janganlah engkau terlalu berharap untuk menjadi pegawai dan jadikanlah dia sebagai sesempit pintu rezeki namun jangan pula engkau tolak jika diberi peluang untuk itu. Jangan engkau melepaskannya melainkan jika ia benar-benar bertentangan dengan tugas dakwahmu.
18. Hendaklah engkau perhatikan tugas-tugasmu secara cermat dan berkualiti.
19. Hendaklah engkau penuhi hakmu dengan baik, penuhi hak-hak orang lain dengan sempurnan dan janganlah menunda-nunda pekerjaan.
20. Hendaklah engkau menjauhkan diri dari judi dengan segala jenis apapun maksud disebaliknya. Jauhi mata pencarian yag haram, betapapun keuntungan besar yang ada di baliknya.
21. Hendaklah engkau menjauhkan diri dari riba dalam setiap aktiviti mu dan sucikan ia sama sekali dari riba.
22. Hendaklah engkau memelihara kekayaan umat Islam secara umum dengan mendorong berkembangnya kilang-kilang dan projek-projek ekonomi Islam. Engkau pun hendaklah menjaga setiap keping mata wang agar tidak jatuh ke tangan orang non-Islam dalam keadaan bagaimanapun. Janganlah makan dan berpakaian kecuali produk negeri Islammu sendiri.
23. Hendaklah engkau mempunyai sumbangan kewangan dalam dakwah, engkau tunaikan kewajipan zakatmu dan jadikan sebahagian dari hartamu itu bagi orang yang meminta dan yang kekurangan, betapa kecil pun penghasilanmu.
24. Hendaklah engkau menyimpan sebahagian dari penghasilanmu untuk persediaan masa-masa sukar, betapa sedikit dan jangan sekali-kali menyusahkan dirimu untuk mengejar kesempurnaan.
25. Hendaklah engkau menghidupkan tradisi Islam dan menghapuskan tradisi asing dalam setiap aspek kehidupanmu. Jagalah sunnah dalam setiap aktiviti tersebut.
26. Hendaklah engkau memboikot kehakiman kehakiman yang tidak Islami, demikian juga penerbitan-penerbitan, organisasi-organisasi, sekolah-sekolah dan segenap institusi yang tidak menyokong fikrahmu secara total.
27. Hendaklah engkau sentiasa merasa diawasi oleh Allah, mengingati akhirat dan bersiap-siap untuk menuju redha Allah dengan tekad yang kuat, serta mendekatkan diri kepada Allah dengan banyak ibadah sunah, memperbanyak zikir (hati dan lisan), dan berusaha m engamalkan doa yang diajarkan pada setiap kesepatan.
28. Hendaklah engkau bersuci dengan baik dan usahakan agar sentiasa dalam keadaan berwuduk (suci) di sebahagian besar waktu anda.
29. Hendaklah engkau melakukan solat dengan baik dan sentiasa tepat waktu dalam menunaikannya. Usahakan untuk sentiasa berjemaah di masjid.
30. Hendaklah engkau berpuasa Ramadhan dan menunaikan haji. Lakukan sekarang juga jika kamu telah mampu.
31. Hendaklah senantiasa menyertai dirimu niat jihad dan cinta mati syahid. Bersiaplah untuk itu pada bila-bila saja peluang untuk itu tiba.
32. Hendaklah engkau sentiasa memperbaharui taubat dan istghfarmu. Berhati-hatilah terhadap dosa kecil, apatah lagi besar. Sediakanlah-untuk dirimu-beberapa saat untuk mengintropeksi diri terhadap apa-apa yang telah dilakukan, yang baik mahupun yang buruk. Perhatikan masa, kerana masa adalah kehidupan itu sendiri. Janganlah engkau pergunakan ia-sedikitpun-tanpa guna dan janganlah engkau ceroboh terhadap hal-hal yang syubhat supaya tidak jatuh ke dalam lembah yang haram.
33. Hendaklah engkau berjuang meningkatkan keupayaan dengan bersungguh-sungguh agar engkau dapat menerima tongkat kepemimpinan. Hendaklah engkau menundukkan pandanganmu, menekan emosimu, dan memotong habis selera-selera rendah dari jiwamu. Bawalah ia hanya untuk menggapai yang halal dan baik serta hijabilah ia dari yang haram dalam keadaan bagaimanapun.
34. Hendaklah engkau jauhi mabuk dan seluruh makanan atau minuman yang memabukkan sejauh-jauhnya.
35. Hendaklah engkau menjauh dari pergaulan dengan orang jahat dan persahabatan dengan orang yang rosak serta jauhilah tempat-tempat maksiat.
36. Hendaklah engkau perangi tempat-tempat yang tidak sepatutnya, jangan sekali-kali mendekatinya, serta jauhi gaya hidup mewah dan bersantai-santai.
37. Hendaklah engkau mengetahui teman pergaulanmu satu persatu dengan pengetahuan yang lengkap dan kenalkanlah dirimu kepada mereka dengan selengkap-lengkapnya. Tunaikanlah hak-hak ukhuwah mereka dengan sepenuhnya hak kasih sayang, penghargaan, pertolongan dan itsar. Hendaklah hadir di majlis mereka, tidak hadir kecuali ada keuzuran atau kecemasan dan pegang teguhlah sikap dalam pergaulanmu dengan mereka.
38. Hendaklah engkau elakkan hubungan dengan organisasi atau jamaah sekiranya hubungan itu tidak membawa maslahat bagi fikrohmu.
39. Hendaklah engkau menyebarkan dakwahmu di mana-mana dan memberi maklumat kepada pemimpin tentang segala keadaan yang melingkupimu. Jangan engkau berbuat sesuatu yang memberi kesan penyertaan kecuali dengan izinnya.
40. Hendaklah engkau sentiasa menjalinkan hubungan baik secara rohani mahupun fizikal dengan Jamaah dan menempatkan dirimu sebagai “tentera yang berada di tangsi yang tengah menanti arahan komander”.

Friday, February 15, 2013

"La Adri" Tanda Berhati-hati?


Dalam karya agung Hujjatul Islam al-Imam Ghazali r.h. ada menyebut dalam bab pertama kitab Ihya Ulumuddin mengenai mereka yang bergelar ulama. Menurut beliau ulama terbahagi kepada dua golongan yakni ulama dunya atau ulama usuukdan ulama al-akhirah.
Ulama dunya adalah ulama yang menggunakan agama demi sedikit kepentingan keduniaan seperti habuan wang ringgit, anugerah dan pangkat. Kebiasaan ulama jenis ini akan mendampingi para penguasa bagi memastikan matlamat mereka tercapai, malah kadang-kala mereka sanggup mengeluarkan fatwa demi membenarkan tindakan penguasa meskipun ianya adalah jelas salah di sisi syarak.
Manakala antara ciri utama para ulama akhirat adalah tidak tergesa-gesa dalam mengeluarkan fatwa. Mereka akan sentiasa berdiri teguh dan sentiasa mencari jalan melepaskan diri daripada memberikan fatwa.
Kata Imam Ghazali,
"Jikalau mereka ditanya mengenai hukum yang benar-benar jelas ada dalam al-Quran dan Sunah, ijmak dan qias maka berfatwalah mereka. Dan apabila ditanya kepada mereka sesuatu yang diragukan, maka mereka akan menjawab, 'La adri (aku tidak tahu)', jika mereka ditanya mengenai sesuatu yang hampir diyakininya, berdasarkan ijtihad dan tekaan mereka, maka mereka akan berhati-hati, mempertahankan diri dan menyerahkan penjawapan kepada orang lain, jika ada kemampuan tersebut pada orang lain." (Ihya Ulumuddin, jidil 1)
Kerana ulama akhirat adalah berhati-hati sifatnya, dalam perbuatan mahupun kelakuan. Pada mereka al-hazmu berhati-hati besar manfaatnya, kerana mereka tahu andai ijtihad itu dilakukan tanpa suatu kajian dan ilmu khusus ia menjadi fatwa ikut-ikutan dan pastinya besar implikasinya kepada diri mereka khususnya masyarakat yang mengambil fatwa mereka sebagai pegangan.
Rasulullah SAW pernah berpesan,
"Ilmu itu ada tiga bahagian: Kitab yang berbicara, Sunah yang berdiri tegak dan la adri (aku tidak tahu)"
(Hadis direkodkan oleh Abu Daud dan Ibnu Majah daripada Abdullah bin Umar, hadis marfu')
Jelas di sini bahawa kemuliaan seorang ulama itu bukan sahaja kepada ketinggian ilmu mereka namun sikap berhati-hati dan tawaduk mereka. Akhlak sebegini mungkin akan mendatangkan telahan yang pelbagai dalam kalangan masyarakat namun mereka sedar bahawa walaupun mereka berilmu pastinya diri mereka juga punya kelemahan.

Para ulama salafus soleh antara ulama yang mempunyai kualiti ilmu, iman dan takwa yang tinggi di sisi Allah taala. Namun mereka jua dalam keadaan tertentu lebih selesa berkata la adri bagi sesuatu hukum dan perkara yang mereka tidak tekuni. Berkata la adri juga antara cara yang lembut bagi menyatakan ketidaktahuan kita.
Asy-Sya'bi berkata,
"La adri adalah setengah daripada ilmu. Sesiapa yang berdiam diri kepada perkara yang tidak diketahuinya kerana Allah taala, maka tidak akan kurang pahalanya berbanding orang yang berkata-kata. Kerana mengaku bodoh adalah perbuatan yang berat bagi seseorang itu."
Begitu juga halnya yang berlaku kepada Abdullah Ibnu Umar saat dirinya ditanya bagi mendapatkan fatwa. Beliau berkata dengan tegas,
"Pergilah kepada ketua kamu yang sudah menerima beban tanggungjawab segala urusan manusia. Maka letakkanlah urusan tersebut kepadanya."
Demikian juga, adalah mustahil bagi seorang manusia biasa sebagaimana tinggi dan alimnya ilmu mereka dapat menjawab semua persoalan yang diusulkan. Sedangkan Rasulullah SAW sendiri apabila ditanya kepada Baginda sesuatu yang tidak atau belum diketahuinya, tanpa segan dan takut maruahnya sebagai pemimpin agung orang Islam tercalar, baginda akan menjawab, "La adri."
Ibnu Mas'ud menerangkan,
"Orang yang memberi fatwa terhadap semua persoalan yang diminta kepada mereka fatwanya adalah gila!" Seterusnya beliau menyambung, "Benteng orang alim itu adalah la adri. Jikalau ia menyalahkan benteng itu, maka sesungguhnya bencana akan menimpa di tempat-tempat mereka berperang."
Justeru, wajarlah kita sebagai orang Islam mengambil iktibar daripada para ulama muktabar salafus soleh dalam urusan harian kita. Janganlah menjerumuskan diri kita ke dalam lembah kehinaan hanya kerana sebuah ego dan takut dianggap orang tidak berilmu.
Setiap persoalan khususnya mengenai agama dan hukam-hakamnya mesti dijawab dengan berhati-hati agar tidak berlaku penambahan atau pengurangan dan jika tidak tahu maka jawab sahaja, "La adri".
Ayuh kita hayati kisah daripada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud,
"Tatkala Rasulullah SAW ditanyakan mengenai tempat yang terbaik dan terburuk di bumi, maka Nabi SAW menjawab, 'La adri' sehingga datang Jibril kepada Baginda dan ditanya kepada Jibril. Jibril menjawab, "La adri." Sehingga kemudian Allah taala sendiri yang memberitahu kepada Baginda bahawa tempat yang terbaik adalah masjid, manakala tempat yang terburuk adalah pasar."
(Direkodkan oleh Ahmad, Abu Ya'la, Al-Bazzar dan Al-Hakim daripada Ibnu Umar)
Bayangkan Rasulullah sendiri tanpa memikirkan betapa malu dirinya yang dianggap sebagai seorang utusan Allah yang mendapat wahyu apabila menjawab tidak tahu apabila ditanya. Namun dek kerana dirinya benar-benar tidak tahu, Rasulullah sanggup berkata tidak tahu berbanding mereka-reka seterusnya berbohong demi tidak mahu malu.
Ini adalah sunnah dan teladan kepada kita umatnya, pengajaran yang sangat besar ada di sana yakni kejujuran dan kebenaran adalah lebih penting daripada kesombongan dan maruah diri sendiri.

- iluvislam.com -

Friday, November 30, 2012

Salah Faham ummat islam terhadap Janggut dan Pemeliharaannya




Salah Faham ummat islam terhadap Janggut dan Pemeliharaannya oleh Sheikh Habib Ali al-Jifri Hafizahullah.

Memelihara janggut dapat diteliti melalui dua sudut pandangan, iaitu dari sudut pandangan hukum syariah dan sudut pandangan umum. Berdasarkan sudut pandangan hukum syariah, kita mengetahui bahawa terdapat perbezaan pendapat (khilaf) mengenai hukum Memelihara janggut bagi lelaki oleh keempat-empat imam mazhab samada Imam Syafie, Hambali, Maliki atau Hanafi. Antara pendapat yang kuat dipegang oleh beberapa mazhab tertentu ialah mengharamkan lelaki dari mencukur janggut sepenuhnya sehingga licin wajah. Walau bagaimanapun, menurut mazhab Syafie, perbuatan mencukur janggut sehingga licin wajah tidaklah diharamkan namun ia adalah sangat tidak digalakkan.

Dari sudut pandangan umum pula, terdapat dua bentuk pandangan mengenai amalan Memelihara janggut oleh kaum lelaki. Pandangan yang pertama mengatakan bahawa Memelihara janggut adalah tidak perlu kerana mereka berpegang kepada hujah yang mangatakan bahawa Allah S.W.T tidak memandang kepada penampilan atau luaran seseorang, sebaliknya lebih kepada iman dan keikhlasan didalam hati. Secara tidak langsung, golongan ini telah menolak salah satu dari sunnah Rasulullah S.A.W iaitu amalan Memelihara janggut. Walaupun begitu, saya tidaklah mengatakan bahawa golongan ini berdosa atas pendapat mereka itu kerana Imam Syafie berpendapat bahawa tidak Memelihara janggut bukanlah suatu dosa, hanya ia adalah tidak digalakkan.

Sungguhpun begitu, memandang hina dan memperolok-olokkan amalan Memelihara janggut yang merupakan salah satu daripada amalan sunnah baginda Rasul S.A.W.merupakan sesuatu yang amat buruk dan tidak sepatutnya dilakukan oleh mana-mana individu Muslim yang berpendapat seperti di atas.

Pandangan umum mengenai amalan Memelihara janggut yang kedua pula ialah menjadikan janggut sebagai suatu tanda ukur akan keimanan seseorang. Dengan kata lain, golongan ini berpendapat bahawa semakin panjang janggut seseorang itu, maka semakin tinggilah ketaqwaannya dan sekiranya seseorang tidak mempunyai janggut, maka dia bukan dari kalangan orang yang bertaqwa. 

Pendapat ini biasa ditimbulkan oleh orang-orang yang mempunyai sedikit pengetahuan namun tidak begitu arif dengan agama dan ia merupakan suatu fahaman yang salah sama sekali. Saya telah melihat situasi seperti ini wujud di Mesir. Sesiapa sahaja yang berjanggut, maka masyarakat akan memanggilnya ‘sheikh’. 

Terdapat juga situasi di mana wujud suatu kelompok masyarakat yang meminta fatwa dan hukum-hukum mengenai agama daripada seseorang yang Memelihara janggut, dan seterusnya menerima apa saja fatwa dan hukum yang dikeluarkan oleh individu tersebut hanya semata-mata kerana dia berjanggut. Adakah hanya dengan janggut sahaja benar-benar melayakkan seseorang itu untuk dipanggil dengan gelaran ‘sheikh’ dan dianggap sebagai seorang yang arif dalam bidang agama? 

Sekiranya seseorang individu perlu Memelihara janggut atau membuangnya (mencukurnya) kerana taatkan perintah dari ketua atau pemerintahnya, ia bukanlah suatu dosa. Namun jika seseorang individu Memelihara janggut kerana ingin mengikuti sunnah Rasulullah S.A.W sepertimana para sahabatnya, maka itu adalah yang terbaik. Oleh yang demikian, dia perlulah membersihkannya dan mengemaskan janggutnya dengan baik dan teratur. Baginda Rasulullah S.A.W sendiri sering menyikat dan membersihkan janggut baginda hingga ia kelihatan amat kemas dan bersih.


Sheikh Habib Ali Al-Jifri Hafizahullah,Mudir Yayasan Taibah,Abu Dhabi.

Sesetengah individu beranggapan bahawa untuk mengikuti suruhan agama adalah sehingga terpaksa menjadi kotor dan hodoh. Ini adalah tidak benar. Kadang kala kita bertemu individu-individu yang Memelihara janggut yang besar, namun dia tidak membersihkannya, tidak menjaganya atau menyikatnya sehingga tanpa disedari dia kelihatan kotor dan selekeh. Akan tetapi, apabila ada orang yang memperolok-olokkan keadaan janggutnya, dia menjadi marah.

Kemampuan seseorang untuk mengamalkan sunnah secara menyeluruh adalah berbeza mengikut keadaan, situasi dan tempat. Namun bagi mereka yang mampu untuk terus istiqamah dalam mengamalkan sunnah, maka ini adalah sesuatu yang amat bagus. Sungguhpun begitu, menganggapnya sebagai seseorang lebih alim atau warak adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. Jadi kita tidak boleh mengatakan bahawa orang yang berjanggut lebih warak daripada orang yang tidak Memelihara janggut.

Benar, seseorang yang Memelihara janggut telah dapat mengamalkan sesuatu yang tidak ada pada individu yang tidak Memelihara janggut. Walau bagaimanapun, kita perlu sedara bahawa mungkin individu yang tidak Memelihara janggut boleh jadi lebih alim dan lebih taat terhadap Allah S.W.T kerana terdapat banyak lagi perkara lain yang boleh menjadi ukuran ketaatan seseorang kepada ALLAH.

Ini mengingatkan saya kepada suatu kisah sewaktu saya lebih muda, dan ia berlaku di salah satu bandar Arab. Kebiasaannya, orang akan pergi ke pasar dan bertemu antara satu sama lain. Berlaku sebuah perbalahan didalam sebuah kedai serbaguna antara dua orang lelaki mengenai suatu barang jualan kedai tersebut. Tiba-tiba muncul seorang lelaki berjanggut yang masuk kedalam kedai dan berjaya menyelesaikan perbalahan yang berlaku antara dua lelaki tersebut. Lalu orang-orang lain yang turut berada didalam kedai itu berkata, 

“Masya Allah, wahai sheikh, wahai maulana, semoga Allah S.W.T merahmati kamu. Tolonglah doakan kesejahteraan kepada Rasulullah S.A.W untuk kami,”

Lelaki berjanggut itu hanya berdiam diri mendengar kata-kata mereka. 

Lalu mereka berkata lagi, 

“Wajah tuan bercahaya-cahaya dan tuan kelihatan seperti seorang alim besar. Tuan juga telah berjaya menyelesaikan masalah yang berlaku di antara kami. Mengapa tuan tidak mahu mendoakan kesejahteraan kepada Rasulullah S.A.W bagi pihak kami?”

Lelaki berjanggut itu membalas, “Wahai saudaraku, saya adalah seorang Kristian.”Sudah tentulah perbuatan lelaki Kristian ini dalam menyelesaikan perbalahan yang berlaku adalah suatu perkara yang amat baik dan saya mohon kepada Allah S.W.T untuk merahmatinya atas kebaikan yang telah ia lakukan. Walau bagaimanapun, cuba lihat bagaimana masyarakat sekeliling yang meminta pandangannya mengenai Islam hanya semata-mata kerana dia Memelihara janggut.

Oleh yang demikian, tanggapan begini (sebagai seorang ulama atau seseorang yang warak) tidak boleh diukur dan ditetapkan hanya dengan Memelihara janggut.

Wednesday, November 28, 2012

Jauhkan Diri Dari Suka Memfitnah dan Jadilah Mukmin yang di Cintai Allah




Assalamualaikum Teman2 Sekalian

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,

Terdapat beberapa persoalan yang perlu dijawab!
Kenapa manusia tidak takut laknat dan kemurkaan Allah?
Kenapa manusia tidal takut azab dan neraka Allah?
Kenapa manusia suka buat fitnah dan aibkan orang lain?
Kenapa manusia suka buat dosa -dosa besar dan merasa bangga pula?
Kenapa manusia suka muat-turunkan gambar lucah dan menyebarkannya?
Adakah manusia yakin dia boleh terselamat dari azab kubur dan seksa api neraka?
Manusia tanpa iman manusia yang suka buat fitnah dan aibkan orang lain.
Manusia tanpa iman suka melakukan dosa-dosa besar.
Manusia tanpa iman suka buat zalim dan sebarkan perkara mungkar.
Manusia tanpa iman suka menentang hukum-hukum Allah dan
suka menghina ulama dan orang-orang mukmin.
Ingatlah bahawa setiap dosa dan kemungkaran yang dibuat oleh manusia di dunia ini akan mendapat balasannya daripada Allah S.W.T.
Firman Allah S.W.T maksudnya : "Maka barangsiapa mengerjakan kebaikan sebesar zarrah, nescaya dia akan melihat (balasan) nya .Dan barangsiapa mengerjakan kejahatan sebesar zarrah, nescaya dia akan melihat (balasan) nya." (Surah az-Zalzalah ayat 7-8)
Manusia yang suka dedahkan aib orang mukmin ketika di dunia, aibnya akan didedahkan oleh Allah S.W.T. di hari akhirat. Ketika itu orang-orang mukmin akan mentertawakan golongan tersebut yang gembira dan mentertawakan orang mukmin ketika di dunia.
Allah S.W.T berfirman maksudnya : “Barang siapa yang menghendaki kehidupan sekarang (dunia), maka Kami segerakan baginya didunia itu apa yang Kami kehendaki dan Kami tentukan baginya Neraka Jahannam, ia akan memasukinya dalam keadaan tercela dan terusir" (Surah al-Isra’ ayat 18).
Sahabat yang dimulikan.
Penyebaran fitnah sangat mudah berleluasa di zaman ini dengan adanya kemudahan telekomunikasi seperti, televisyen, telefon bimbit, komputer berinternet, dll. Fitnah boleh menyebabkan perpecahan di dalam sesuatu masyarakat dan boleh menjurumuskan individu yang mulia ke lembah penghinaan dan begitulah sebaliknya cuba menaikkan taraf orang yang jahil.
Islam mempunyai kaedah yang sangat ketat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita supaya tidak mempunyai unsur fitnah. Wajib bagi muslim yang beriman menghalusi setiap berita diterima supaya tidak terbabit dalam kancah kontroversi berita berunsur fitnah. Sebarang berita diterima perlu dipastikan kesahihannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran penerima amat penting digunakan bagi memastikan tidak terpedaya dengan penyebar berita berunsur fitnah.
Firman Allah S.W.T. maksudnya : “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburukkan individu atau kumpulan terutamanya orang yang dihormati masyarakat. Pada masa sama, perbuatan itu bertujuan untuk menonjolkan diri penyebar fitnah seolah-olah penyebar fitnah itu sebagai lebih baik dan lebih layak berbanding orang yang difitnah itu.
Hakikatnya, dosa membuat fitnah menjauhkan diri penyebar fitnah dari syurga. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Dosa menyebar fitnah umpama api membakar ranting kering kerana ia cepat merebak dan akan menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah menjadi muflis di akhirat nanti. Maka sia-sialah segala amal ibadah, amal soleh dan amal kebaikannya seperti solat, puasa. zakat, haji dan sedekahnya dan lain-lain lagi.
Rasulullah bersabda lanjut maksudnya : “Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)
Larangan mencari dan membocorkan rahsia orang lain jelas dilarang Allah S.W.T.seperti dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain.” (Surah al-Hujurat, ayat 12).
Justeru, setiap muslim perlu bijak menilai sesuatu berita bagi mengelak daripada menerima dan kemudian menyebarkan sesuatu berita berunsur fitnah.
Pengajaran: Fikir-fikirlah biarpun beribu kali sebelum membuat fitnah. Sememangnya terdapat syaitan di kalangan jin, dan syaitan di kalangan manusia yang suka membuat fitnah dan menjatuhkan orang lain.
Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita jauhkan diri kita daripada golongan fasiq dan zalim yang suka membuat fitnah supaya kita tidak mendapat sahamnya dan jadikanlah diri kita menjadi manusia yang di cintai oleh Allah S.W.T.
Di dalam sebuah hadis qudsi, Allah S.W.T. telah berfirman maksudnya :
"Aku cintakan tiga jenis manusia, tetapi Aku jauh lebih cinta kepada tiga jenis manusia yang lainnya: :
Aku cintakan orang yang bersifat pemurah, tetapi Aku lebih cinta lagi kepada orang miskin yang pemurah.
Aku cintakan orang yang rendah hati /diri, tetapi Aku lebih cinta orang kaya yang rendah hati/diri.
Aku cintakan orang yang bertaubat, tetapi Aku lebih cinta lagi orang muda yang bertaubat."
Huraian ringkas:
Orang miskin tidak mempunyai wang yang cukup untuk bersedekah. Tetapi di dalam keadaan ia kekurangan ia masih mampu mengambil sebahagian daripada keperluannya untuk menghulurkan bantuan dan bersedekah, maka dengan perbuatan ini Allah S.W.T. lebih mencintainya daripada orang kaya yang bersifat pemurah.
Orang kaya biasanya bersikap sombong dan bermegah dengan kekayaannya. Tetapi apabila orang kaya sanggup merendahkan hati dan dirinya terutama kepada orang miskin maka Allah S.W.T. lebih mencintainya berbanding orang miskin yang merendahkan hati dan dirinya.
Orang muda mudah terdorong untuk mengikuti hawa nafsu, jika dilihat sekarang ini jarang dilihat orang-orang muda memiliki ketekunan beribadah dan beramal soleh. Inilah sebabnya Allah menyintai orang muda yang bertaubat kerana jikalau orang tua yang bertaubat, memang sepatunya dia berbuat demikian kerana sudah dekat dengan kematian.
Janganlah kita menjadi hamba-hamba yang sombong, bongkak dan ego kerana kita hanyalah makhluk yang dijadikan oleh Allah agar beribadat kepada-Nya yang mana akhirnya kepadaNya jualah kita akan kembali dan akan diperhitungkan nasib dan amalan kita.
sumber: Ustaz Abu Basyer