Peringatan Keras Daripada al-Quran & al-Sunnah
Kepada Para Periwayat & Penyebar Hadith Palsu
Firman Allah Subhanahu-wa-Ta’ala : “Maka
siapakah yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah
untuk menyesatkan manusia dengan tidak berdasarkan ilmu pengetahuan?
Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim” [Surah al-A’am : 144]
Firman Allah Subhanahu-wa-Ta’ala “Pada hari kiamat engkau akan melihat orang-orang yang berdusta terhadap Allah muka-muka mereka hitam” [Surah az-Zumar : 60]
Sabda Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam dalam salah satu khutbahnya yang dikhabarkan oleh Abu Qatadah radhiallahu-‘anhu:
“Aku
mendengar Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam bersabda di atas
mimbar ini : Hendaklah kamu sekalian menjauhi (daripada) terlalu banyak
menyampaikan hadith daripada aku. Maka barangsiapa yang menyampaikan
sesuatu (hadith) daripadaku – hendakah dia menyatakan yang
sebenar-benarnya (sahih). Dan barangsiapa yang mengada-adakan dusta atas
namaku padahal aku tidak (pernah) mengatakannya – maka hendaklah dia
mengambil tempat duduknya di neraka” [Sunan Ibnu Majah – no: 035]
Sabda Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam : “Sesungguhnya
berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke
atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Barangsiapa yang berdusta
ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka” [Diriwayatkan oleh al-Bukhari 1/439 dan Muslim 1/10. Hadith ini adalah mutawatir – Lihat : Ibn al-Salah, ‘Ulum al-Hadith, ms. 239]
Sabda Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam : “Jangan kamu berdusta ke atasku. Barangsiapa yang berdusta ke atasku maka dia masuk neraka” [Diriwayatkan oleh al-Bukhari 1/52 dan Muslim 1/10]
Sabda Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam: “Barangsiapa yang berbohong dengan menggunakan namaku maka dia telah menempah tempat duduknya dalam neraka” [Diriwayatkan oleh al-Bukhari – no: 1291 dan Muslim – no: 4]
Sabda Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam: “Barangsiapa
yang menyebutkan sesuatu dariku sedangkan aku tidak pernah menyebutnya,
maka dia telah menempah tempat duduknya di dalam neraka” [Diriwayatkan oleh al-Bukhari – no: 109]
Sabda Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam: “Akan
ada pada akhir zaman umatku sekumpulan manusia bersifat seperti dajjal
dan pembohong yang memberitahu kamu tentang hadith yang kamu tidak
pernah mendengarnya dan juga tidak pernah didengari oleh bapa-bapa kamu.
Janganlah mereka mendekati kamu dan janganlah kamu mendekati mereka.
Janganlah mereka menyesatkan kamu dan menjatuhkan kamu ke dalam fitnah” [Diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahihnya – no: 15]
Pernyataan Para ‘Ulama Hadith Mengenai Wajibnya Mengetahui Dan
Menjelaskan Kedudukan Sanad Hadith Semasa Menyebarkannya
Adalah
tidak dibolehkan seseorang itu menyebarkan sesebuah hadith yang tidak
dapat dipastikan kedudukan sanadnya. Al-Syu’aib al-Arna’uth berkata:
“Sesungguhnya
seorang ulama hadith Syam, Badruddin al-Hasani telah berkata, tidak
harus menyandarkan sesebuah hadith kepada Rasulullah
shalallahu-‘alaihi-wasallam kecuali apabila dinyatakan kesahihannya oleh
seorang huffaz yang dikenali. Sesiapa yang berkata, Rasulullah
shalallahu-‘alaihi-wasallam telah bersabda, sedangkan dia tidak tahu
kesahihan hadith tersebut dibimbangi dia termasuk dalam hadith yang
menyebut: “Sesiapa yang berdusta ke atasku sesuatu yang aku tidak
ucapkan, maka siap sedialah tempat duduknya dalam neraka” [Syu’aib al-Arna’uth, (nota kaki) Siyar A’lam al-Nubala’ 19/340]
Selain itu, al-Imam al-Thohawi (w321H):
“Sesiapa yang menyampaikan hadith daripada Rasulullah berdasarkan sangkaan (atau tidak pasti),
bererti dia menyampaikan hadith daripada baginda secara tidak benar.
Sesiapa yang menyampaikan hadith daripada baginda secara tidak benar
bererti dia menyampaikan hadith daripada baginda secara batil. Sesiapa
yang menyampaikan hadith daripada baginda secara batil (maka) dia
berdusta ke atas baginda sebagaimana seorang pendusta hadith. Mereka
termasuk dalam sabdanya Nabi shalallahu-‘alaihi-wasallam “Sesiapa yang
berdusta ke atas aku maka dia mengambil tempat duduknya di dalam
neraka”. Kami berlindung daripada Allah Ta’ala daripada sedemikian” [Musykil al-Atsar (diteliti oleh Muhammad ’Abd al Salah Syahin; Dar al Kutub al Ilmiah, Beirut, 1995) jilid 1, ms. 123]
Tegasnya,
hendaklah seseorang itu terlebih dahulu mengetahui apakah sumber
periwayatan serta kedudukan/status sanad hadith (sekadar mampu) tersebut
sebelum menyampaikannya kepada orang. Firman Allah Subhanahu-wa-Ta’ala :
“Dan
(diharamkan-Nya) kamu mempersekutukan Allah dengan apa yang Allah tidak
turunkan sebarang bukti (dalil yang membenarkannya) dan
(diharamkan-Nya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak tahu” [Surah al’Araf : 33]
Menurut ‘Abdullah bin al-Mubarak, beliau berkata:
“Sanad itu adalah sebahagian daripada al-Din (agama). Kalaulah tidak kerana sanad, sesiapa pun akan bercakap apa sahaja yang dia mahu (sekalipun tidak benar)” [Riwayat Muslim 1/10]
Mungkin
ada yang bertanya, apakah boleh menyandarkan sesuatu hadith yang sudah
jelas kedudukan sanadnya sebagai palsu atau dha’if ke atas nama
kemuliaan baginda Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam dengan
alasan kerana inti matan atau teksnya mengandungi sesuatu pengertian
yang baik?. Bagi menjawab persoalan ini, cukuplah rasanya penulis
menukilkan perkataan Syaikh Jamaluddian al-Qasimi (w1322H) berikut
sebagai penjelasan:
“Terdapat tujuan (yang sangat mustahak mengapa)
para imam hadith menerangkan tentang sanad dan kelemahannya. Ia lebih
besar daripada tujuan menggalakkan ibadah, puasa dan solat. Iaitu untuk
membebaskan dan memelihara syariat yang suci daripada sebarang
penambahan (atau perubahan). Ini merangkumi penambahan yang baik
atau buruk. Apakah lagi keburukan yang lebih besar akan masuk ke dalam
syariat yang suci ini daripada dibuka ruang untuk para pendusta mencipta
apa sahaja yang mereka suka? Tanpa membezakan antara yang benar dan
bohong? Kemudian, siapa yang sanggup namanya digunakan oleh penulis lain
bagi membolehkan mereka menulis apa sahaja yang mereka sukai mengenai
pemikiran atau perkataan, sekalipun ia (bermaksud) baik? Siapa
pula yang menerima jika seseorang berdusta menggunakan nama menteri atau
ketua dengan mengeluarkan sesuatu ketetapan atau edaran bersama dengan
tanda tangannya? Bolehkah semua itu diterima dengan baik
tanpa menganggapnya mempersendakan undang-undang, didenda atau
sekurang-kurangnya dibantah? Siapa pula yang dapat bayangkan bahawa dia
boleh mengada-adakan suatu perintah tertinggi dan menghebahkannya
seakan-akan ia (suatu arahan yang sah) daripada sultan, namun (adakah) dia tidak dihukum (kerana berdusta ke atas nama sultan)? Jika demikian, siapa pula muslim yang dibenarkan untuk berdusta kepada Rasulullah?” [Al-Qasim, Qawaid al-Tahdith, ms. 165]
Jelasnya, menyebarkan sesuatu hadith sekalipun dengan tujuan yang baik sedangkan
telah jelas akan kelemahan atau kepalsuannya di sisi para ilmuan adalah
tidak dibenarkan. Ini berdasarkan kepada sebuah hadith Rasulullah
shalallahu-‘alaihi-wasallam :
“Sesiapa
yang meriwayatkan satu hadith mengenaiku sedangkan dia mengetahui
kepalsuannya maka dia tergolong (dalam kalangan) orang-orang yang
berdusta” [Diriwayatkan oleh Muslim 1/222 – no :1]
Sebagai
tambahan, elok rasanya penulis nukilkan pernyataan seorang ulama’
hadith terkemuka dalam mazhab Syafi’e iaitu Ibn Hibban ketika
menghuraikan hadith “Cukuplah menjadi satu dosa bagi seseorang yang menceritakan segala yang dia dengari (tanpa mengkaji benar atau tidak)” [Diriwayatkan oleh Muslim – no: 5] di mana beliau telah berkata:
“Di dalam hadis ini terdapat larangan kepada sesiapa sahaja supaya tidak menyebut semua perkara (termasuk hadith) sehinggalah dia yakini itu adalah sahih” [Tamam al-Minnah Fi’ al-Ta’til ‘Ala’ Fiqh al-Sunnah – Syaikh al-Albani – kaedah no: 11]
sumber :
No comments:
Post a Comment