hok ikut ambe..

Thursday, May 31, 2012

bahaya menyebar hadis palsu


Peringatan Keras Daripada al-Quran & al-Sunnah
Kepada Para Periwayat & Penyebar Hadith Palsu

Firman Allah Subhanahu-wa-Ta’ala : “Maka siapakah yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah untuk menyesatkan manusia dengan tidak berdasarkan ilmu pengetahuan? Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim” [Surah al-A’am : 144]

Firman Allah Subhanahu-wa-Ta’ala “Pada hari kiamat engkau akan melihat orang-orang yang berdusta terhadap Allah muka-muka mereka hitam” [Surah az-Zumar : 60]

Sabda Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam dalam salah satu khutbahnya yang dikhabarkan oleh Abu Qatadah radhiallahu-‘anhu:

“Aku mendengar Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam bersabda di atas mimbar ini : Hendaklah kamu sekalian menjauhi (daripada) terlalu banyak menyampaikan hadith daripada aku. Maka barangsiapa yang menyampaikan sesuatu (hadith) daripadaku – hendakah dia menyatakan yang sebenar-benarnya (sahih). Dan barangsiapa yang mengada-adakan dusta atas namaku padahal aku tidak (pernah) mengatakannya – maka hendaklah dia mengambil tempat duduknya di neraka” [Sunan Ibnu Majah – no: 035]

Sabda Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam : “Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Barangsiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka” [Diriwayatkan oleh al-Bukhari 1/439 dan Muslim 1/10. Hadith ini adalah mutawatir – Lihat : Ibn al-Salah, ‘Ulum al-Hadith, ms. 239]

Sabda Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam : “Jangan kamu berdusta ke atasku. Barangsiapa yang berdusta ke atasku maka dia masuk neraka” [Diriwayatkan oleh al-Bukhari 1/52 dan Muslim 1/10]

Sabda Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam: “Barangsiapa yang berbohong dengan menggunakan namaku maka dia telah menempah tempat duduknya dalam neraka” [Diriwayatkan oleh al-Bukhari – no: 1291 dan Muslim – no: 4]

Sabda Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam: “Barangsiapa yang menyebutkan sesuatu dariku sedangkan aku tidak pernah menyebutnya, maka dia telah menempah tempat duduknya di dalam neraka” [Diriwayatkan oleh al-Bukhari – no: 109]

Sabda Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam: “Akan ada pada akhir zaman umatku sekumpulan manusia bersifat seperti dajjal dan pembohong yang memberitahu kamu tentang hadith yang kamu tidak pernah mendengarnya dan juga tidak pernah didengari oleh bapa-bapa kamu. Janganlah mereka mendekati kamu dan janganlah kamu mendekati mereka. Janganlah mereka menyesatkan kamu dan menjatuhkan kamu ke dalam fitnah” [Diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahihnya – no: 15]

Pernyataan Para ‘Ulama Hadith Mengenai Wajibnya Mengetahui Dan
Menjelaskan Kedudukan Sanad Hadith Semasa Menyebarkannya

Adalah tidak dibolehkan seseorang itu menyebarkan sesebuah hadith yang tidak dapat dipastikan kedudukan sanadnya. Al-Syu’aib al-Arna’uth berkata:

Sesungguhnya seorang ulama hadith Syam, Badruddin al-Hasani telah berkata, tidak harus menyandarkan sesebuah hadith kepada Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam kecuali apabila dinyatakan kesahihannya oleh seorang huffaz yang dikenali. Sesiapa yang berkata, Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam telah bersabda, sedangkan dia tidak tahu kesahihan hadith tersebut dibimbangi dia termasuk dalam hadith yang menyebut: “Sesiapa yang berdusta ke atasku sesuatu yang aku tidak ucapkan, maka siap sedialah tempat duduknya dalam neraka” [Syu’aib al-Arna’uth, (nota kaki) Siyar A’lam al-Nubala’ 19/340]
Selain itu, al-Imam al-Thohawi (w321H):

“Sesiapa yang menyampaikan hadith daripada Rasulullah berdasarkan sangkaan (atau tidak pasti), bererti dia menyampaikan hadith daripada baginda secara tidak benar. Sesiapa yang menyampaikan hadith daripada baginda secara tidak benar bererti dia menyampaikan hadith daripada baginda secara batil. Sesiapa yang menyampaikan hadith daripada baginda secara batil (maka) dia berdusta ke atas baginda sebagaimana seorang pendusta hadith. Mereka termasuk dalam sabdanya Nabi shalallahu-‘alaihi-wasallam “Sesiapa yang berdusta ke atas aku maka dia mengambil tempat duduknya di dalam neraka”. Kami berlindung daripada Allah Ta’ala daripada sedemikian” [Musykil al-Atsar (diteliti oleh Muhammad ’Abd al Salah Syahin; Dar al Kutub al Ilmiah, Beirut, 1995) jilid 1, ms. 123]

Tegasnya, hendaklah seseorang itu terlebih dahulu mengetahui apakah sumber periwayatan serta kedudukan/status sanad hadith (sekadar mampu) tersebut sebelum menyampaikannya kepada orang. Firman Allah Subhanahu-wa-Ta’ala :

“Dan (diharamkan-Nya) kamu mempersekutukan Allah dengan apa yang Allah tidak turunkan sebarang bukti (dalil yang membenarkannya) dan (diharamkan-Nya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak tahu [Surah al’Araf : 33]

Menurut ‘Abdullah bin al-Mubarak, beliau berkata:

“Sanad itu adalah sebahagian daripada al-Din (agama). Kalaulah tidak kerana sanad, sesiapa pun akan bercakap apa sahaja yang dia mahu (sekalipun tidak benar) [Riwayat Muslim 1/10]

Mungkin ada yang bertanya, apakah boleh menyandarkan sesuatu hadith yang sudah jelas kedudukan sanadnya sebagai palsu atau dha’if ke atas nama kemuliaan baginda Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam dengan alasan kerana inti matan atau teksnya mengandungi sesuatu pengertian yang baik?. Bagi menjawab persoalan ini, cukuplah rasanya penulis menukilkan perkataan Syaikh Jamaluddian al-Qasimi (w1322H) berikut sebagai penjelasan:

“Terdapat tujuan (yang sangat mustahak mengapa) para imam hadith menerangkan tentang sanad dan kelemahannya. Ia lebih besar daripada tujuan menggalakkan ibadah, puasa dan solat. Iaitu untuk membebaskan dan memelihara syariat yang suci daripada sebarang penambahan (atau perubahan). Ini merangkumi penambahan yang baik atau buruk. Apakah lagi keburukan yang lebih besar akan masuk ke dalam syariat yang suci ini daripada dibuka ruang untuk para pendusta mencipta apa sahaja yang mereka suka? Tanpa membezakan antara yang benar dan bohong? Kemudian, siapa yang sanggup namanya digunakan oleh penulis lain bagi membolehkan mereka menulis apa sahaja yang mereka sukai mengenai pemikiran atau perkataan, sekalipun ia (bermaksud) baik? Siapa pula yang menerima jika seseorang berdusta menggunakan nama menteri atau ketua dengan mengeluarkan sesuatu ketetapan atau edaran bersama dengan tanda tangannya? Bolehkah semua itu diterima dengan baik tanpa menganggapnya mempersendakan undang-undang, didenda atau sekurang-kurangnya dibantah? Siapa pula yang dapat bayangkan bahawa dia boleh mengada-adakan suatu perintah tertinggi dan menghebahkannya seakan-akan ia (suatu arahan yang sah) daripada sultan, namun (adakah) dia tidak dihukum (kerana berdusta ke atas nama sultan)? Jika demikian, siapa pula muslim yang dibenarkan untuk berdusta kepada Rasulullah?” [Al-Qasim, Qawaid al-Tahdith, ms. 165]

Jelasnya, menyebarkan sesuatu hadith sekalipun dengan tujuan yang baik sedangkan telah jelas akan kelemahan atau kepalsuannya di sisi para ilmuan adalah tidak dibenarkan. Ini berdasarkan kepada sebuah hadith Rasulullah shalallahu-‘alaihi-wasallam :
“Sesiapa yang meriwayatkan satu hadith mengenaiku sedangkan dia mengetahui kepalsuannya maka dia tergolong (dalam kalangan) orang-orang yang berdusta” [Diriwayatkan oleh Muslim 1/222 – no :1]

Sebagai tambahan, elok rasanya penulis nukilkan pernyataan seorang ulama’ hadith terkemuka dalam mazhab Syafi’e iaitu Ibn Hibban ketika menghuraikan hadith “Cukuplah menjadi satu dosa bagi seseorang yang menceritakan segala yang dia dengari (tanpa mengkaji benar atau tidak)” [Diriwayatkan oleh Muslim – no: 5] di mana beliau telah berkata:

“Di dalam hadis ini terdapat larangan kepada sesiapa sahaja supaya tidak menyebut semua perkara (termasuk hadith) sehinggalah dia yakini itu adalah sahih” [Tamam al-Minnah Fi’ al-Ta’til ‘Ala’ Fiqh al-Sunnah – Syaikh al-Albani – kaedah no: 11]

Sekian, Wallahu-a’lam. 

sumber : 

http://www.al-muwahhidun.blogspot.com/

Thursday, May 24, 2012

Adab bercinta dalam Islam





Adab bercinta dalam islam

Dalam surah ar-Rum ayat 21 Allah menyatakan, “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah bahawa Dia menciptakan isteri-isteri bagimu dari kalangan kamu sendiri supaya kamu dapat hidup tenang bersama mereka dan diadakan-Nya cinta kasih sayang antara kamu. Sungguh, dalam yang demikian ada tanda-tanda bagi orang yang menggunakan fikiran”

ISLAM menggariskan akhlak yang terbaik untuk merealisasikan percintaan sesama lelaki dan perempuan yang mukalaf. Terdapat tiga peringkat percintaan yang mana orang Islam hendaklah mencuba sedaya upaya mereka untuk memelihara kesucian cinta itu daripada dicemari unsur-unsur maksiat dan perkara-perkara yang dapat membawa kepada kemurkaan Allah. Tiga peringkat tersebut adalah cinta sebelum perkahwinan, cinta selepas bertunang dan cinta selepas perkahwinan.

Cinta Sebelum Kahwin

Cinta sebelum perkahwinan adalah cinta yang hadir daripada pergaulan harian dengan individu yang mempunyai kesamaan daripada segi cita rasa, peribadi, minat dan cara hidup. Ada kalanya cinta ini adalah cinta pandang pertama yang hadir secara mendadak, dan ia juga mungkin cinta yang dibina secara berperingkat melalui pertemuan dan pergaulan harian. Cinta sebelum perkahwinan biasanya tidak digalakkan dalam Islam, kerana dikhuatiri akan menjerumuskan pencinta itu ke kancah maksiat dan kelalaian dalam percintaan. Walau bagaimanapun, jika percintaan itu mempunyai matlamat suci, iaitu untuk membawa pencinta itu ke jinjing pelamin dan ikatan yang sah, maka sebagai pencinta yang beriman dan takutkan Allah, mereka haruslah menjaga dan memelihara perkara-perkara berikut:

1.Menjaga batas-batas pergaulan dengan tidak menyentuh sesama sendiri, tidak membuang masa berjam-jam dengan bertelefon atau berbual-bual, dan tidak menjadikan pergaulan mereka seperti suami isteri yang sudah sah dinikahkan. Mereka harus sedar dan berasa malu kerana mereka masih belum mempunyai sebarang hak ke atas satu sama lain.

2.Menghormati maruah dan harga diri masing-masing, dalam erti kata lain tidak membenarkan diri berdua-duaan dengan kekasih, kerana orang yang ketiga adalah syaitan. Di samping itu tidak berhias-hias atau menampakkan perhiasan di hadapan kekasih kerana dikhuatiri boleh menaikkan nafsu syahwat kekasih. Sebaik-baiknya sebarang pertemuan hendaklah melibatkan mahram atau ibu bapa yang mengawasi tingkah laku mereka.

3.Mendapat restu dan kebenaran dari ibu bapa adalah faktor kejayaan dalam percintaan sebelum perkahwinan. Restu daripada ibu bapa memudahkan proses pertunangan dan pernikahan yang akan berlangsung sebagai kelangsungan daripada cinta itu. Ibu bapa harus memainkan peranan dengan memastikan anak-anak tidak melupakan tanggungjawab peribadi dan batasan akhlak dan ajaran agama semasa bercinta
.
4.Berdoa dan menunaikan solat hajat supaya percintaan yang dimiliki akan diredai dan diberkati Allah. Bermohon kepada Allah supaya cinta itu dapat membawa kepada kesempurnaan peribadi dan kesempurnaan agama dengan mendirikan rumah tangga dan memelihara kelangsungan cinta itu.

5.Sentiasa melakukan solat Istikharah bagi meneguhkan hati supaya orang yang dicintai itu adalah yang terbaik untuk menjadi pasangan hidup sehingga ke akhir hayat. Janganlah mencintai seseorang kerana harta, rupa atau keturunannya, tetapi cintailah dia kerana agama dan kemuliaan akhlaknya. Solat istikharah membantu supaya individu yang bercinta itu tidak menyesal dengan pilihannya dan dia wajiblah menjuruskan percintaannya itu untuk mendirikan rumah tangga yang terpelihara. Sekiranya dia bercinta tanpa niat untuk berumah tangga tetapi sekadar ingin bermain-main dan bersuka ria, maka percintaan itu adalah penipuan dan setiap perbuatan ke arah itu mencetuskan dosa dan kemurkaan Allah.

Setiap perbuatan cinta seperti menyentuh kekasih, bersalaman, berdating, berpelukan dan bercanda adalah dilarang sebelum perkahwinan. Sebagai hamba Allah yang takut kepada kemaksiatan dan kehinaan hidup di dunia, pasangan kekasih hendaklah berasa malu untuk mempamerkan ‘cinta terlarang’ mereka kerana belum lagi diiktiraf oleh perkahwinan yang dituntut oleh syarak. Tetapi sebaliknya, apabila diikat dengan ikatan perkahwinan yang sah, perbuatan-perbuatan itu mendatangkan pahala dengan syarat suami isteri itu berusaha untuk menjaga batasan akhlak dan kesopanan tingkah laku apabila berada di khalayak ramai.

Cinta Selepas Bertunang

Kebanyakan orang yang bercinta menyimpan hasrat untuk mempertahankan cintanya hingga ke jinjang pelamin. Ber-tunang adalah cara yang dilakukan bagi menyempurnakan janji untuk berkahwin. Ia adalah tanda pengabadian cinta yang suci dan tulus. Cinta dalam pertunangan besar ujiannya kerana godaan dan cabaran yang datang dari pelbagai pihak mampu merubah hati dan pendirian pasangan. Orang yang bertunang dikatakan ‘berdarah manis’ kerana mudah terjebak kepada gangguan perasaan dan terdedah kepada pelbagai cabaran. Oleh sebab itu pertunangan tidak digalakkan untuk tempoh yang lama mengikut adat masyarakat Melayu. Malah ia tidak perlu dihebohkan kepada semua orang kerana dikhuatiri pasangan itu berubah hati dan tidak jadi melangsungkan perkahwinan.

Bertunang tidak sama dengan berkahwin. Bertunang adalah ikatan tetapi ia belum diteguhkan oleh akad yang menghalal-kan segala perhubungan antara lelaki dan perempuan. Bertunang adalah tempoh suai kenal bukan tempoh memadu asrama. Maka orang yang sedang bertunang tidak boleh melanggar batas-batas agama kerana mereka masih belum ‘halal’ untuk sentuh-bersentuhan, cium-berciuman dan sebagainya. Pihak lelaki perlu menyedari mereka belum lagi menjadi suami, begitu juga pihak perempuan belum bergelar isteri. Maka berhati-hatilah dalam pergaulan kerana syaitan sentiasa menjadi orang ketiga yang tidak jemu menggoda dan cuba merosakkan cinta yang terbina.

Cinta Selepas Kahwin

Allah mengiktiraf cinta selepas perkahwinan sebagai yang terbaik dan sumber segala kesenangan dan kasih sayang sebagaimana yang dinyatakan di dalam Quran ayat 21 surah ar-Rum, “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah bahawa Dia menciptakan isteri-isteri bagimu dari kalangan kamu sendiri supaya kamu dapat hidup tenang bersama mereka dan diadakan-Nya cinta kasih sayang antara kamu. Sungguh, dalam yang demikian ada tanda-tanda bagi orang yang menggunakan fikiran”.

Cinta selepas perkahwinan adalah cinta yang diredai dan dituntut oleh ajaran Islam. Cinta seharusnya berputik mekar selepas pasangan suami isteri itu mendapat mandat yang agung untuk bercinta melalui ikatan yang sah dan diiktiraf oleh agama dan juga anggota masyarakat. Bagi menyuburkan cinta selepas perkahwinan, maka pasangan suami isteri haruslah menghormati hak-hak dan tanggungjawab kepada yang dicintai dengan penuh kecintaan dan kasih sayang. Antara cara-cara untuk menyuburkan rasa cinta sebegitu adalah:

1.Membuktikan cinta melalui ketaatan, kasih sayang, pengorbanan dan kesungguhan memuliakan pasangan dan rumah tangga yang dibina. Pasangan suami isteri hendaklah sentiasa saling hormat-menghormati, menghargai perasaan dan tutur kata, sentiasa mendoakan kesejahteraan keluarga dan berusaha memelihara amanah dan janji yang dibuat.

2.Melahirkan zuriat sebagai bukti cinta yang terjalin. Sekiranya ditakdirkan tidak mempunyai zuriat, suami hendaklah bersabar dan tidak terburu-buru untuk berkahwin lain. Seharusnya usaha dilipatkan gandakan untuk mendapatkan zuriat baik secara tradisional mahupun secara perubatan. Sekiranya tidak berhasil, bolehlah mengambil anak angkat sebagai langkah alternatif.

3.Mengasihi dan menghormati ahli keluarga pasangan suami isteri. Bagi mewujudkan keluarga yang harmonis, perhubungan kedua-dua belah pihak hendaklah dijaga dan dipelihara sebaik mungkin. Sesekali, hadiah dapat dijadikan penghubung kasih-sayang dan tidak lupa untuk bertanya khabar sekiranya tidak berkesempatan untuk menziarahi keluarga yang jauh.

Seharusnya Cinta…

Insan yang beriman sering kali meletakkan sandaran yang kuat dan kukuh kepada Allah. Maka, dalam soal percintaan, sering kali mereka bersikap tenang dan menyerah diri kepada ketentuan Allah. Ini adalah kerana mereka yakin cinta datang dari Allah dan hanya Dia sahaja yang dapat menganugerahkan atau menghapuskan cinta itu. Allah adalah Pencipta kepada cinta, dan setiap penciptaan-Nya ada matlamat dan sebab kewujudannya, yang sering kali tidak cuba difahami oleh manusia.

Hanya segelintir sahaja yang memahami hakikat didatangkan perasaan cinta itu, iaitu kembali kepada asal matlamat kejadian manusia; untuk menyembah dan melakukan ketaatan kepada Allah. Tidak kira apa bangsa ataupun agama sekalipun, hakikat cinta adalah kembali kepada mengagungkan dan membesarkan Tuhan yang menciptakan segala cinta. Agama Islam, Kristian, Buddha, Hindu serta lain-lain agama tetap mengupas persoalan cinta sebagai sumber kedamaian hati dan keamanan dunia.

Realiti cinta menuntut pengorbanan daripada setiap individu yang berani untuk melibatkan dirinya dalam percintaan. Cinta penuh dengan air mata, aliran perasaan yang amat deras dan getaran yang mengilukan hati. Cinta juga penuh dengan keindahan, keselesaan, kehalusan perasaan dan kenikmatan jasmani mahupun rohani. Ini adalah kerana, cinta tidak hanya melibatkan perasaan semula jadi antara lelaki dan perempuan sahaja tetapi juga melibatkan perhubungan antara manusia dan Tuhan, manusia dan alam, serta manusia dan perbuatan.

Oleh yang demikian, insan yang beriman dapat mengelakkan diri daripada melakukan kesilapan dalam pergaulan, kekecewaan dalam percintaan, dan kehancuran dalam kehidupan. Mereka memahami hakikat cinta dan jenis-jenis cinta yang wujud dalam dunia ini, lantas menjadikan fikiran mereka lebih terbuka dan bijaksana dalam menangani soal percintaan. Penderitaan, penyesalan, dan kebencian tidak dijadikan sebagai sumber yang boleh memudaratkan diri dan hati, tetapi sebaliknya sebagai sumber yang memberi kesedaran dan keinsafan akan hakikat kehidupan yang sebenarnya.

Wednesday, May 23, 2012

12 tidur yang sunat dikejutkan


Mengejutkan orang yang tidur disunatkan sekiranya orang itu tidur dalam keadaan berikut:

Pertama:

seorang yang tidur di masjid dan waktu solat sudah tiba. Ini berdasarkan hadis Abu Bakrah ra, beliau berkata:

خرجت مع النبي صلى الله عليه وسلم لصلاة الصبح فكان لا يمر برجل إلا ناداه بالصلاة أو حركه برجله
“ Aku keluar bersama Nabi saw untuk menunaikan solat subuh. Beliau tidak lalu pada mana-mana lelaki melainkan akan menyerunya untuk solat atau menggeraknya untuk solat dengan kakinya.” (Hr Abu Daud 1246 – semua perawinya thiqah)

Kedua:

Orang yang tidur dihadapan orang yang solat kerana menggangu orang yang solat.

Ketiga:

Tidur diatas permukaan bangunan tanpa penghadang.
Rasulullah saw bersabda:

من بات على ظهر بيت ليس له حجار فقد برئت منه الذمة
“Sesiapa yang tidur diatas permukaan bangunan tanpa ada penghadang (dari jatuh bangunan), sesungguhnya telah terlepas dari tanggungjawab mana-mana pihak (sekiranya jatuh). (Hr Abu Daud – semua perawinya adalah thiqah)

Keempat:

Tidur dalam keadaan separuh badan terkena cahaya matahari dan setengah lagi tidak kena.

Nabi saw bersabda:

إذا كان أحدكم في الشمس فلقص عنه الظل وصار بعضه في الشمس وبعضه في الظل فليقم
“Apabila salah seorang kamu berada di bawah pancaran matahari, kemudian matahari menaik dan sebahagian tubuh mu terkena pancaran matahari dan sebahgian yang lain tidak kena , hendaklah dia beredar.” (Hr Abu Daud – semua perawinya thiqah)

Kelima:

Tidur waktu subuh.

Nabi saw bersabda:

الصبحة تمنع الرزق

“Tidur subuh menegah rezki.” (Hr Ahmad – sanad lemah)

Umar bin Abdul Aziz apabila melihat anaknya sedang tidur waktu subuh, beliau mengejutkannya dan berkata:

الأرزاق تقسم وأنت نائم

“Rezeki dibahagi2kan sedangkan engkau tidur.”

Keenam:

Tidur sebelum isya kerana makruh tidur waktu itu. Ini disebut dalam hadis yang panjang, riwayat dari Abi Bakrah ra dimana beliau berkata:

كان يكره النوم قبلها والحديث بعدها
“Baginda tidak suka tidur sebelum solat isya dan sembang-sembang selepasnya.” (Hr Bukhari - sahih)

Ketujuh:

Tidur lepas solat asar.
Nabi saw bersabda:

من نام بعد العصر فاختلس عقله فلا يلومن إلا نفسه

" Sesiapa yang tidur selapas solat asar dan hilang akalnya , janganlah dia mencela melainkan dirinya.” (Hr Abu Ya’la – Sanad lemah)

Kelapan:

Tidur berseorangan di rumah. Hukum ini disebut oleh al-Hulaimi dalam kitabnya al-Minhaj Fi Syu’abil Iman.

Kesembilan:

Perempuan yang tidur menelentang. Ini kerana ianya makruh seperti yang disebut dalam kitab yang sama.
Umar bin Abdul Aziz telah menegah anaknya yang tidur sedemikian.

Kesepuluh:

Seseorang yang tidur meniarap. Baginda melihat seorang lelaki meniarap. Lalu baginda bersabda:

إن هذه ضجعة يبغضها الله ورسوله

Maksudnya: “Sesungguhnya ini adalah cara baring yang dimurkai oleh Allah dan Rasulnya.” (Hr Tirimizi dan Ahmad-hasan lighairihi)

Abu Umamah r.a berkata: Nabi s.a.w lalu dekat seorang lelaki yang tidur meniarap di Masjid. Lalu baginda memukulnya dengan kakinya dan berkata:

قم واقعد فإنها نومة جهنمية

Maksudnya: “Bangunlah kamu dari tidur dan duduklah sesungguhnya ini adalah cara tidur ahli neraka jahannam.” (Hr Ibnu Majah)

Kesebelas:

Mengejutkan orang tidur untuk bangun qiamullail.
Nabi saw bersabda:

رحم الله رجلا قام من الليل فصلى وأيقظ امرأته فإن أبت نضح في وجهها الماء رحم الله امرأة قامت
من الليل فصلت وأيقظت زوجها فإن أبى نضحت في وجهه الماء
“Allah merahmati lelaki yang bangun malam, menunaikan solat dan mengejutkan isterinya. Sekiranya isterinya enggan, dia akan merenjiskan air pada muka isterinya. Allah merahmati wanita yang bangun malam, menunaikan solat dan menegejutkan suaminya. Sekiranya suaminya enggan, dia akan merenjis air ke muka suaminya. (Hr Abu Daud 1308 – perwai2nya thiqah)

Ke dua belas:

Mengejutkan orang yang tidur untuk bangun sahur. Nabi saw bersabda:

إن بلالا ينادي بليل فكلوا واشربواحتى ينادي ابن مكتوم
“Sesungguhnya bilal akan mengumandangkan azan pada waktu malam (sebelum subuh), maka makanlan dan minumlah sehingga Ibnu Maktum mengumandangkan azan subuh.” (Hr Muslim)

Tuesday, May 1, 2012

Tips untuk bakal ibu




"Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan zuriat keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa." [Surah Al Furqan, 74]

Tips Untuk Kaum Bakal Ibu/Ibu Bagi Mendapat Anak Soleh - Dari Satu Diskusi

:: Lazimi makanan yang Halaalan Toyyiban terutama yang makanan yang diproses pastikan Halal dan Toyyib.

:: Berusaha untuk menghafaz Al-Quran bagi mendidik deria pendengaran janin. Boleh mulakan dengan surah-surah lazim. Allah berikan kita kekuatan aqal, jangan under estimate atau kufur dengan nikmat akal. Don't say no before you even start. Saya pernah mendengar kata seorang ustaz, jika kita dah berniat untuk menghafal Al-Quran dan berusaha untuk menghafaz tetapi dijemput dengan ajal terlebih dahulu, maka malaikat akan bantu kita dalam alam barzakh untuk habiskan hafazan 30 juzu'. Wallahuálam.

:: Gunakan bahasa -bahasa yang baik semasa berkomunikasi. Jauhkan perkataan yang kasar, carut, sumpah dan laknat. Mulai belajar menggunakan bahasa yang baik dan positif. Contoh yang diberi adalah apabila nak suruh anak solat. "Solat sekarang, kalau tidak masuk neraka". Walaupun mesej betul tetapi bahasa kurang sesuai. Bagaimana kalau - "anak-anak, sekarang waktu solat sudah masuk. Allah beri kita mata untuk kita melihat, kaki untuk kita berjalan. Kalau kawan kita berikan kita kuih, kita akan ucapkan apa? tentunya "terima kasih". Begitu juga kita dengan Allah, kita kena ucapkan terima kasih dengan pelbagai nikmat yang Allah berikan. Caranya pergi solat. Allah kata kalau orang yang berterima kasih dengan Allah, nanti Allah akan pasti tambah lagi. Allah sayang dengan orang yang tahu bersyukur dengan ni'mat Allah." Tak mungkin pemikiran agung (Islam) disampaikan dengan bahasa yang kasar dan kesat. Sedangkan iklan maksiat pun guna bahasa yang menarik, apatah lagi dalam membentuk generasi pemimpin berperibadi Muslim.

:: Mentadabbur Al-Quran melalui majlis ilmu. Oleh itu, disarankan juga untuk pelajari Bahasa Arab bagi membantu memahami ayat yang dibaca dan menghayati maksudnya.

:: Belajar ilmu-ilmu lain yang diperlukan dalam membentuk generasi pemimpin berperibadi Muslim dalam rahim.

:: Amalkan mandi sunat Pagi Jumaat. Jika terlupa niat mandi sunat Jumaat, niatkan waktu mandi petang. Jika terlupa hari Jumaat, hari Sabtu baru teringat, maka niatlah pada hari Sabtu. Menunjukkan satu komitmen bagimelahirkan generasi pemimpin berperibadi Muslim.

:: Hubungan suami-isteri adalah satu tanggung jawab membina generasi pemimpin berperibadi Muslim, bukan sekadar melepaskan keinginan shahwat.

Sumber : iluvislam