hok ikut ambe..

Monday, March 5, 2012

Rebutlah 5 Perkara Sebelum Datang 5 Perkara









Diriwayatkan oleh at-Tarmizi dan Muslim daripada Amru bin Maimun R.A., pada suatu hari Rasullullah S.A.W telah menyampaikan pengajarannya kepada seorang lelaki, dengan sabdanya yang bermaksud:
 “Rebutlah peluang lima perkara sebelum datang lima perkara yang lain, iaitu masa muda engkau sebelum datangnya hari tua, masa sihat engkau sebelum dilanda sakit, masa kaya engkau sebelum datang miskin, masa lapang engkau sebelum datangnya waktu sibuk, dan masa hidup engkau sebelum datang saat kematian.”

  • Masa muda sebelum datang masa tua.
Masa muda inilah yang seharusnya dimanfaatkan oleh golongan muda untuk mendekatkan diri kepada Allah. Hal ini kerana pada masa ini golongan muda mempunyai tenaga dan kesihatan yang lebih baik baik daripada golongan tua. Apabila masa muda ini diisi dengan perkara-perkara yang tidak mendekatkan diri dengan Allah maka rugilah kerana apabila menjelang usia tua, kudrat kita terbatas dan menghalang untuk beribadat kepada Allah. Keadaan diri yang tidak kuat menyebabkan kita tidak dapat menjalani ibadah pada Allah dengan sempurna.


  • Masa sihat sebelum datang masa sakit.

Kesihatan yang baik adalah satu rahmat yang dikurniakan oleh Allah untuk hambaNya. Dengan kesihatan ini, kita dapat menumpukan sepenuhnya kepada ibadat kepada Allah. Dengan kesihatan baik, kita berupaya untuk menjalankan apa yang telah diperintah oleh Allah. Oleh itu, rebutlah peluang di saat mempunyai kesihatan yang baik untuk memperbanyakkan amalan kepada Allah. Bila mana sakit, sukar untuk melakukan amalan dan beribadah kepada Allah. Rugilah kita pada masa itu kerana tidak mampu untuk mendekatkan diri kepada Allah.



  • Masa kaya sebelum datang masa miskin.
Kekayaan adalah kesenangan untuk dunia. Dengan kekayaan yang dapat menjamin kehidupan yang selesa ketika di dunia. Namun, kekayaan ini adalah kurniaan dan pemberian Allah kepada hambaNya. Kita seharusnya bersyukur dengan kurniaan ini dengan mematuhi perintah Allah dan meninggalkan laranganNya. Kesenangan yang ada adalah peluang yang terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah. Hal ini apabila kita jauh miskin, kita terkejar-kejar untuk mengejar kesenangan dunia sehingga tidak ada masa untuk beribadat kepada Allah. Oleh itu, kita perlu mengambil peluang yang ada untuk mendekatkan dan mengenali Allah.


  • Masa lapang sebelum datang masa sibuk.

Waktu umpama perjalanan kita menuju sesuatu destinasi. Kita tidak dapat berpatah balik untuk kembali kepada masa lalu. Kita tidak merasai kembali masa yang pernah kita lalui dulu. Oleh itu, waktu yang lapang ini adalah peluang untuk beribadat kepada Allah. Waktu lapang inilah masa untuk kita memperbanyakkan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah. Bila mana kita sibuk dan tidak ada masa, kita tidak ada peluang untuk mengenali Allah dan beribadat kepadaNya. Kita terlalu sibuk bekerja dan melakukan pelbagai aktiviti yang menghalang dan menyebabkan kita tidak berpeluang untuk beribadat kepada Allah.


  • Masa hidup sebelum tibanya kematian.
Setiap yang bernyawa akan menghadap Maha Pencipta. Kematian adalah benda yang pasti dan akan berlaku pada setiap orang cuma bila akan berlaku tiada siapa yang tahu melainkan Allah. Oleh itu, kita perlu bersyukur kerana masih diberi peluang untuk merasai nikmat kehidupan. Kehidupan yang diberikan adalah peluang dan ruang untuk terus beribadat kepada Allah. Bila mana kita mati, tidak ada peluang lagi untuk kembali ke dunia dan beribadat kepada Allah. Maka, rugilah kita andai waktu kita di dunia kita menghabiskan hidup yang diberikan dengan melakukan perkara yang tidak mendekatkan diri kepada Allah.

Wallahu 'Alam......
              



No comments:

Post a Comment