hok ikut ambe..

Monday, November 12, 2012

Perjalanan Panjang ke Alam Barzakh



Dalam bidang ilmu sufi atau tarikat, iaitu satu ajaran bagi mengenal Tuhan dengan sebenar-benarnya dan mendekatkan diri kepadaNya, terdapat satu istilah yang disebut murid. Dari segi bahasa, murid beerti meninginkan sesuatu. Murid ialah orang yang menempuh jalan menuju Allah. Orang yang membimbing murid disebut sebagai sheikh. Bentuk hubungan antara murid dan sheikh ini bukan hanya ikatan ilmu tetapi juga ikatan batin ataupun ghaib. Sheikh berperanan sebagai rakan, pembimbing dan penunjuk jalan kepada murid dalam usaha menuju Allah.

Islam menawarkan dua jalan dalam hidup iaitu jalan menuju Allah ataupun jalan yang menuju selain dari Allah iaitu jalan syaitan. Allah berfirman dalam surah al-Balad ayat 10 :

       " Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, - (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)?

Kita diminta memilih salah satu daripadanya. Allah memberi kita pilihan sama ada memilih jalan yang mengarah kepada kebahagiaan ataupun memilih jalan jalan yang mengarah kepada kesengsaraan ataupun neraka. Dalam hal ini, Allah memberi peringatan kepada manusia melalui firmannya dalam surah at-Takwir ayat 26 :

" Maka kemanakah kamu hendak pergi? "

Nabi Ibrahim menjawab soalan itu seperti yang termaktub dalam ayat 99 surah as-Saffat, :

" Nabi Ibrahim berkata : Aku mahu pergi kepada Tuhanku. Dia memimpinku ke jalan yang benar."

Manusia digelar murid kerana dia memilih jalan menuju Allah dan meninggalkan apa sahaja selainNya. Inilah tujuan sebenar kita diciptakan. Jalan terbaik menurut Islam adalah jalan yang mengarahkan kita meninggalkan dunia iaitu meninggalkan hawa nafsu bagi menuju Allah. Terdapat banyak ayat al-Quran yang menasihatkan kita supaya kita berjalan mengikuti orang-orang yang berjalan menuju kepada Tuhan. Allah berfirman dalam surah Luqman ayat 15 :

"Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. Dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan. "

Dalam surah an-Nisaa' ayat 100 Allah berfirman :

Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Ahli tafsir menafsirkan ungkapan " sesiapa yang keluar dari rumahnya" dalam ayat tersebut dua makna iaitu makna batin ataupun tersembunyi dan makna lahir nyata. Makna lahir ini merujuk kepada tindakan sahabat Nabi Muhammad meninggalkan rumah mereka di Mekah dan menuju ke Madinah. Pendapat lain mengatakan ayat ini merujuk kepada orang tua yang sakit tetapi turut sama berhijrah dan kemudiannya meninggal dunia dalam perjalanan. Ketika itu, para sahabat yang lain sudah berpindah ke Madinah dan dia masih berada di Kota Mekah. Kemudian Allah menurunkan ayat ini bagi menegur orang-orang Mekah yang enggan berhijrah. Sekiranya mereka meninggal dunia, malaikat akan menghukum mereka. 

Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: "Apakah yang kamu telah lakukan mengenai agama kamu?" Mereka menjawab: "Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi". Malaikat bertanya lagi: "Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?" Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali."
( an-Nisaa' : 97 )

Selepas mendengar ayat ini, orang tua yang sakit tadi berkata " Diri saya tidak termasuk dalam kategori orang yang dikecualikan dalam ayat ini. Saya mempunyai wang belanja dan orang yang tahu jalan, cuma saya sakit. Oleh sebab itu, tolong angkut dan bawa saya ke Madinah. " Keluarganya menunaikan permintaan tersebut tetapi selepas sampai di satu tempat bernama Tawin, orang tua itu meninggal dunia. Selepas kejadian itu, ayat ke 100 surah an-Nisaa' tadi diturunkan.

Menurut Imam Khomeini, erti batin untuk ungkapan tadi adalah orang yang keluar daripada dirinya sendirinya. Maksud ini dinyatakan dalam kitabnya yang bertajuk al-Adab al-Maknawiyyah li as-Salah. Oleh sebab itu, orang yang digelar murid ini adalah orang yang meninggalkan dirinya sendiri lalu menuju kepada Allah. ertinya, dalam proses menuju Allah, dia berusaha mendahulukan kehendak Allah dan meninggalkan kehendak dirinya.

Keadaan ini tidak berlaku sekali gus, malah banyak peringkat cabran perlu ditempuh. Ada perkara perlu dibuat bagi mendahulukan kehendak diri sendiri dan menggantikannya dengan kehendak Allah. Sekiranya kita melakukan dengan tekun di samping berdoa kepada-Nya, lambat-laun seluruh kehendak Allah akan mengantikan kehendak diri kita.

Setengah orang menamakan perjalanan meninggalkan kehendak diri dan menuju kehendak kehendak Allah itu sebagai thariqah atau tareqat yang bermaksud jalan. Orang yang melakukan perjalanan ini dipanggil sebagai salik. Hal ini selaras dengan ungkapan Nabi Muhammad yang menyatakan, " Sesiapa yang meniti (salaka) jalan menuntut ilmu, dia berada di jalan Allah "

Syeikh Najmuddin al-Kubra adalah seorang ahli agama dan pakar dalam bidang tareqat. Dia membimbing ramai murid yang akhirnya menjadi wali. Menurut beliau, terdapat dua jenis perjalanan manusia menuju Allah. Pertama adalah perjalanan terpaksa yang disebut safar qahri. Kedua adalah perjalanan pilihan yang disebut safar ikhtiyari. Ertinya terdapat dua perjalanan menuju Allah dalam keadaan terpaksa dan ada perjalanan menuju Allah dalam keadaan sukarela. Hakikat ini diterangkan dalam al-Quran melalui ayat 157 surah al-Baqarah " Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada Allah jua kami kembali "

Menurut Syeikh Najmuddin lagi, perjalanan terpaksa yang tidak dapat dielakkan itu mempunyai beberapa tahap. Tahap pertama adalah ketika berada pada tulang sulbi bapa kita. Keduanya ialah ketika berada di dalam rahim ibu. Ketiga pula ketika kita dilahirkan ke dunia ini dan keempat adalah ketika kita berada di alam kubur. Pada pandangan Islam, alam kubur boleh menjadi taman seperti taman-taman syurga namun boleh juga boleh menjadi lubang-lubang neraka. Manusia dapat merasakan bayang-bayang keadaan syurga serta neraka di alam barzakh dan ia bergantung pada amal perbuatan kita di dunia.

Tahap kelima ialah pada saat kita dibangkitkan. Menurut beliau, hari kebangkitan memakan masa lebih kurang 5,000 tahun mengikut ukuran masa pada hari ini. Ketika itu semua manusia dibangkitkan daripada tidurnya yang panjang. Hanya Allah lebih mengetahui perihal panjang pendeknya masa ketika itu kerana perkiraan masa adalah relatif apatah lagi sukar untuk kita menghitung waktu kita berada di alam lain.

Menurut pendapat ahli-ahli sufi, kita semua tidak ingat lagi kepada alam yang dilalui sebelum ini, contohnya alam rahim. Namun pengalaman rohani dan jasmani yang kita lalui di alam rahim mempengaruhi keadaan tingkah laku kita sekarang iaitu ketika kita masih hidup. Namun kita seolah-olah tidak pernah mengalami dunia itu dan kita lahir ke alam dunia dengan kesedaran yang baru.

Begitu juga apabila kita memasuki alam kubur. Kita mula menyedari bahawa alam inilah kehidupan yang sebenar-benarnya. Kehidupan di dunia seolah-olah suatu mimpi sahaja dan kita baru merasakan seperti itu selepas berada di alam barzakh. Allah memberitahu melalui ayat 22 dalam surah al-Qaf :



"Demi sesungguhnya! Engkau di dunia dahulu berada dalam keadaan lalai tentang (perkara hari) ini, maka kami hapuskan kelalaian yang menyelubungimu itu, lalu pandanganmu pada hari ini menjadi tajam (dapat menyaksikan dengan jelasnya perkara-perkara hari akhirat)".



Kita akan merasakan seolah-olah alam barrzakh itu adalah permulaan kehidupan. Susah senang kita di sana akan dipengaruhi oleh apa jua yang kita lakukan sekarang. Begitu juga tatkala kita dibangkitkan dari alam barzakh, Kita akan berasa seperti bangun daripada satu mimpi yang panjang sahaja. Semua orang berasakan hidup pada hari pengadilan itulah kehidupan yang sebenar. Situasi ini digambarkan oleh al-Quran melalui surah Yasin ayat 52 :


(Pada ketika itu) orang-orang yang tidak percayakan hidup semula berkata: Aduhai celakanya kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari kubur tempat tidur kami?,, (Lalu dikatakan kepada mereka): " Inilah dia yang telah dijanjikan oleh Allah Yang Maha Pemurah dan benarlah berita yang disampaikan oleh Rasul-rasul!,


Terdapat juga perjalanan yang menjadi pilihan diri kita sendiri. Ia dipanggil safar ikhtiyari. Kita boleh memilih mahu melakukan perjalanan ini atau tidak. Perjalanan secara sukarela ini terbahagi kepada dua jenis. Pertama, adalah perjalanan rohani atau perjalanan jiwa menuju Allah. Ini juga disebut sebagai perjalanan menuju raja segala raja. Dalam perjalanan ini, kita akan menempuh beberapa tahap seperti yang dilalui oleh perjalanan terpaksa tadi.

Yang kedua ialah perjalanan secara fizikal iaitu berpindah dari satu kota ke kota yang lain. Islam sangat mementingkan perjalanan ini malah terdapat banyak peringatan perihal kepentingan perjalanan ini. Antaranya seperti yang terdapat pada surah al-An'aam ayat 11


Katakanlah (wahai Muhammad): "Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat buruk (yang menimpa) orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul) itu."


Dan ayat 20 pada surah al-Ankabut :


Katakanlah: "Mengembaralah kamu di muka bumi, serta lihatlah bagaimana Allah telah memulakan ciptaan makhluk-makhluk dari asal jadinya; kemudian Allah akan memulakan ciptaan itu semula (pada hari akhirat) dalam bentuk kejadian yang baharu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.


Ayat-ayat ini jelas memfokuskan pada seruan supaya kita mengadakan perjalanan di muka bumi. 

Antara keutamaan dalam ibadah haji adalah unsur perjalanan yang digambarkan dengan meninggalkan dunianya menuju ke rumah Allah  iaitu Baitullah. Dalam ibadah haji sendiri terkandung safar rohani. Oleh sebab itu, ibadah haji mengandungi dua safar sekali gus. Bagi orang-orang yang menuntut ilmu, perjalanan mereka sama ada jauh ataupun dekat, di dalam ataupun di luar negara juga mempunyai dua unsur safar. Oleh sebab itu, orang yang menuntut ilmu perlu bersungguh-sungguh melakukannya kerana mereka akan mendapat keuntungan di dunia dan di akhirat.


No comments:

Post a Comment