hok ikut ambe..

Friday, November 30, 2012

Salah Faham ummat islam terhadap Janggut dan Pemeliharaannya




Salah Faham ummat islam terhadap Janggut dan Pemeliharaannya oleh Sheikh Habib Ali al-Jifri Hafizahullah.

Memelihara janggut dapat diteliti melalui dua sudut pandangan, iaitu dari sudut pandangan hukum syariah dan sudut pandangan umum. Berdasarkan sudut pandangan hukum syariah, kita mengetahui bahawa terdapat perbezaan pendapat (khilaf) mengenai hukum Memelihara janggut bagi lelaki oleh keempat-empat imam mazhab samada Imam Syafie, Hambali, Maliki atau Hanafi. Antara pendapat yang kuat dipegang oleh beberapa mazhab tertentu ialah mengharamkan lelaki dari mencukur janggut sepenuhnya sehingga licin wajah. Walau bagaimanapun, menurut mazhab Syafie, perbuatan mencukur janggut sehingga licin wajah tidaklah diharamkan namun ia adalah sangat tidak digalakkan.

Dari sudut pandangan umum pula, terdapat dua bentuk pandangan mengenai amalan Memelihara janggut oleh kaum lelaki. Pandangan yang pertama mengatakan bahawa Memelihara janggut adalah tidak perlu kerana mereka berpegang kepada hujah yang mangatakan bahawa Allah S.W.T tidak memandang kepada penampilan atau luaran seseorang, sebaliknya lebih kepada iman dan keikhlasan didalam hati. Secara tidak langsung, golongan ini telah menolak salah satu dari sunnah Rasulullah S.A.W iaitu amalan Memelihara janggut. Walaupun begitu, saya tidaklah mengatakan bahawa golongan ini berdosa atas pendapat mereka itu kerana Imam Syafie berpendapat bahawa tidak Memelihara janggut bukanlah suatu dosa, hanya ia adalah tidak digalakkan.

Sungguhpun begitu, memandang hina dan memperolok-olokkan amalan Memelihara janggut yang merupakan salah satu daripada amalan sunnah baginda Rasul S.A.W.merupakan sesuatu yang amat buruk dan tidak sepatutnya dilakukan oleh mana-mana individu Muslim yang berpendapat seperti di atas.

Pandangan umum mengenai amalan Memelihara janggut yang kedua pula ialah menjadikan janggut sebagai suatu tanda ukur akan keimanan seseorang. Dengan kata lain, golongan ini berpendapat bahawa semakin panjang janggut seseorang itu, maka semakin tinggilah ketaqwaannya dan sekiranya seseorang tidak mempunyai janggut, maka dia bukan dari kalangan orang yang bertaqwa. 

Pendapat ini biasa ditimbulkan oleh orang-orang yang mempunyai sedikit pengetahuan namun tidak begitu arif dengan agama dan ia merupakan suatu fahaman yang salah sama sekali. Saya telah melihat situasi seperti ini wujud di Mesir. Sesiapa sahaja yang berjanggut, maka masyarakat akan memanggilnya ‘sheikh’. 

Terdapat juga situasi di mana wujud suatu kelompok masyarakat yang meminta fatwa dan hukum-hukum mengenai agama daripada seseorang yang Memelihara janggut, dan seterusnya menerima apa saja fatwa dan hukum yang dikeluarkan oleh individu tersebut hanya semata-mata kerana dia berjanggut. Adakah hanya dengan janggut sahaja benar-benar melayakkan seseorang itu untuk dipanggil dengan gelaran ‘sheikh’ dan dianggap sebagai seorang yang arif dalam bidang agama? 

Sekiranya seseorang individu perlu Memelihara janggut atau membuangnya (mencukurnya) kerana taatkan perintah dari ketua atau pemerintahnya, ia bukanlah suatu dosa. Namun jika seseorang individu Memelihara janggut kerana ingin mengikuti sunnah Rasulullah S.A.W sepertimana para sahabatnya, maka itu adalah yang terbaik. Oleh yang demikian, dia perlulah membersihkannya dan mengemaskan janggutnya dengan baik dan teratur. Baginda Rasulullah S.A.W sendiri sering menyikat dan membersihkan janggut baginda hingga ia kelihatan amat kemas dan bersih.


Sheikh Habib Ali Al-Jifri Hafizahullah,Mudir Yayasan Taibah,Abu Dhabi.

Sesetengah individu beranggapan bahawa untuk mengikuti suruhan agama adalah sehingga terpaksa menjadi kotor dan hodoh. Ini adalah tidak benar. Kadang kala kita bertemu individu-individu yang Memelihara janggut yang besar, namun dia tidak membersihkannya, tidak menjaganya atau menyikatnya sehingga tanpa disedari dia kelihatan kotor dan selekeh. Akan tetapi, apabila ada orang yang memperolok-olokkan keadaan janggutnya, dia menjadi marah.

Kemampuan seseorang untuk mengamalkan sunnah secara menyeluruh adalah berbeza mengikut keadaan, situasi dan tempat. Namun bagi mereka yang mampu untuk terus istiqamah dalam mengamalkan sunnah, maka ini adalah sesuatu yang amat bagus. Sungguhpun begitu, menganggapnya sebagai seseorang lebih alim atau warak adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. Jadi kita tidak boleh mengatakan bahawa orang yang berjanggut lebih warak daripada orang yang tidak Memelihara janggut.

Benar, seseorang yang Memelihara janggut telah dapat mengamalkan sesuatu yang tidak ada pada individu yang tidak Memelihara janggut. Walau bagaimanapun, kita perlu sedara bahawa mungkin individu yang tidak Memelihara janggut boleh jadi lebih alim dan lebih taat terhadap Allah S.W.T kerana terdapat banyak lagi perkara lain yang boleh menjadi ukuran ketaatan seseorang kepada ALLAH.

Ini mengingatkan saya kepada suatu kisah sewaktu saya lebih muda, dan ia berlaku di salah satu bandar Arab. Kebiasaannya, orang akan pergi ke pasar dan bertemu antara satu sama lain. Berlaku sebuah perbalahan didalam sebuah kedai serbaguna antara dua orang lelaki mengenai suatu barang jualan kedai tersebut. Tiba-tiba muncul seorang lelaki berjanggut yang masuk kedalam kedai dan berjaya menyelesaikan perbalahan yang berlaku antara dua lelaki tersebut. Lalu orang-orang lain yang turut berada didalam kedai itu berkata, 

“Masya Allah, wahai sheikh, wahai maulana, semoga Allah S.W.T merahmati kamu. Tolonglah doakan kesejahteraan kepada Rasulullah S.A.W untuk kami,”

Lelaki berjanggut itu hanya berdiam diri mendengar kata-kata mereka. 

Lalu mereka berkata lagi, 

“Wajah tuan bercahaya-cahaya dan tuan kelihatan seperti seorang alim besar. Tuan juga telah berjaya menyelesaikan masalah yang berlaku di antara kami. Mengapa tuan tidak mahu mendoakan kesejahteraan kepada Rasulullah S.A.W bagi pihak kami?”

Lelaki berjanggut itu membalas, “Wahai saudaraku, saya adalah seorang Kristian.”Sudah tentulah perbuatan lelaki Kristian ini dalam menyelesaikan perbalahan yang berlaku adalah suatu perkara yang amat baik dan saya mohon kepada Allah S.W.T untuk merahmatinya atas kebaikan yang telah ia lakukan. Walau bagaimanapun, cuba lihat bagaimana masyarakat sekeliling yang meminta pandangannya mengenai Islam hanya semata-mata kerana dia Memelihara janggut.

Oleh yang demikian, tanggapan begini (sebagai seorang ulama atau seseorang yang warak) tidak boleh diukur dan ditetapkan hanya dengan Memelihara janggut.

No comments:

Post a Comment