hok ikut ambe..

Friday, February 24, 2012

Mendapat Payung Di Masyhar


Sabda Rasulullah SAW :

"Daripada Abu Hurairah R.A, sabda Rasulullah SAW : Tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah di akhirat  (masyhar) pada hari tiada sebarang naungan melainkan naunganNya : Pemimpin yang adil, Pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah, Lelaki yang sentiasa hatinya terpaut kepada masjid, Dua lelaki yang berkasih sayang kerana Allah dan berpisah keranaNya, Dan lelaki yang dipujuk oleh wanita yang cantik lagi berkedudukan (mengajak melakukan hubungan haram), Maka dia berkata "Sesungguhnya Aku takutkan Allah, dan Seorang lelaki yang memberi sedekah dengan cara tersembunyi sehingga tangan kanannya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kirinya dan lelaki yang berzikir (mengingati) kepada Alah secara tersembunyi maka mengalir air matanya" 
                   
(Riwayat Muslim)

Pertama : Pemimpin yang adil. Mereka merupakan kategori pertama dipilih oleh Allah, memandangkan tugas mereka terlalu berat menguruskan rakyat di bawahnya dengan penuh keadilan tanpa mengira kedudukan mahu pun bangsa. Mereka sentiasa menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira waktu. Tidak sesekali bertindak melakukan kezaliman terhadap rakyatnya kerana Islam adalah rahmat sekelian alam.

Kedua : Pemuda yang sentiasa mengabdikan diri kepada Allah, dengan maksud mereka sentiasa melakukan segala gerak-kerja berlandaskan syariat Allah SWT. Mereka sentiasa mengawasi diri dari terjerumus ke lembah maksiat, dosa dan perkara-perkara yang diharamkan Allah SWT.

Ketiga : Lelaki yang hatinya terpaut pada masjid. Mereka sentiasa mendampingi rumah-rumah Allah walau di mana mereka berada. Tetapi bukanlah mereka menjadikan masjid tempat tinggal atau pun melakukan ibadat seperti zikrullah sepenuh masa tanpa melakukan kerja membangunkan diri dan masyarakat.

Keempat : Dua orang lelaki berkasih sayang kerana Allah. Hadis ini bukan merujuk kepada lelaki semata-mata tetapi juga kepada golongan wanita ( jawapan dari soal jawab ustaz Azhar Idrus ). Mahabbah yang dibina bukan berdasarkan nafsu tetapi penuh keikhlasan semata-mata, bukan kerana faktor kekayaan mahupun kedudukan. Hati mereka tetap bersama walau pun mungkin mereka berada di tempat yang jauh. Sehinggalah mati memisahkan mereka berdua.

Kelima : Seorang lelaki yang dipujuk oleh wanita yang cantik menawan, dengan pujukan yang penuh menggoda, malah wanita itu mempunyai kedudukan namun dengan iman mereka mampu bertahan dan menyatakan sesungguhnya aku amat takut dengan azab Allah SWT. Betapa kentalnya iman mereka dalam menghadapi situasi yang genting itu. Bukan perkara yang mudah bagi remaja dengan nafsu yang begitu kuat mampu bertahan. Kebanyakan mereka tewas dengan godaan wanita bahkan dengan zaman kebebasan sosial kini semakin sukar untuk kita mencari lelaki yang mempunyai iman. Malah sebilangan mereka bertuhankan hawa nafsu semata-mata.

Keenam : Lelaki yang menghulurkan sedekah secara sembunyi tanpa diketahui oleh sesiapa pun. Hal ini membuktikan keikhlasan terhadap apa yang diberikan. Jauh sekali untuk mereka menunjuk-nunjuk atau riak. Di sini menjelaskan bahawa sedekah secara rahsia lebih afdhal dari secara terang-terangan. Tetapi dalam konteks sedekah yang wajib misalnya zakat adalah afdhal dilakukan secara terang.

Ketujuh : Seseorang lelaki yang mengingati Allah SWT secara berseorangan samaada ingatan itu berlaku secara lisan atau hati yang khusyu' lalu menitis air mata kerana teramat gerun dengan kuasa Allah SWT. Titisan air mata itu berlaku sendirian jauh daripada riak bukan disebabkan dosa yang dilakukan namun kerana ketakutan yang teramat kepada Allah SWT.

No comments:

Post a Comment